KEPUTUSAN seri tanpa jaringan Inter Milan menentang Fiorentina semalam membolehkan Juventus hanya memerlukan satu lagi kemenangan lagi untuk merangkul gelaran Serie A Itali kesembilan berturut-turut.
Juve berada enam mata di hadapan Atalanta di tempat kedua dan boleh meraih ‘Scudetto’ ke-36 pada hari Jumaat dengan kemenangan di Udinese yang sedang bergelut di kelompok terbawah liga.
Pasukan Inter, Antonio Conte berada di tempat ketiga, satu mata di belakang Atalanta dengan baki tiga perlawanan lagi, walaupun menguasai perlawanan di San Siro.
“Tempat kedua adalah untuk yang kalah,” kata Conte, yang mengemudi Juventus merangkul tiga daripada lapan gelaran mereka sekarang dan kemudian memenangi Liga Perdana Inggeris dan Piala FA bersama Chelsea.
“Saya faham bahawa ada pihak yang berpuas hati dengan ini, tetapi bagi saya itu tidak bermakna.
“Apabila anda kehilangan mata, ini bermakna ada kekurangan.”
Tandukan Romelu Lukaku terkena palang setelah 18 minit dengan Alexis Sanchez juga terlepas peluang untuk menjaringkan gol kemenangan sejurus selepas rehat.
Penjaga gawang Fiorentina, Pietro Terracciano, bertindak cemerlang menafikan percubaan Nicolo Barella dan Lukaku daripada jarak dekat.
Tempat Inter dalam Liga Juara-Juara UEFA musim depan pasti terjamin tetapi mereka kini boleh menduduki tempat keempat, dengan Lazio ketinggalam empat mata di belakang menjelang perlawanan mereka dengan Cagliari di tempat ke-13 pada hari Jumaat.
“Tahun ini kami memperoleh lebih sedikit daripada apa yang kami taburkan,” sambung Conte.
“Kami berusaha mengusahakan mental dan meningkatkan naluri penyudah, yang mesti dimiliki oleh pasukan hebat jika mahu memperjuangkan sesuatu yang penting.
“Tetapi saya gembira kerana para pemain kecewa dengan keputusan, kerana ini bermakna kerja saya memberi impak.”
Conte mengambil alih kedudukan di Inter musim panas lalu, dengan harapan dapat membantu pasukan memenangi gelaran liga pertama mereka sejak 2010, tahun treble yang belum pernah terjadi sebelumnya di bawah kendalian Jose Mourinho. – AFP