Integriti bukan sekadar nilai moral, aset pacu ekonomi Sarawak

Facebook
WhatsApp
PROFESOR Dato’ Paduka Seri Is. Dr. Tunza Mohd Riduan.

SIBU: Integriti perlu dilihat sebagai aset ekonomi yang mampu menentukan keberkesanan pembangunan Sarawak, khususnya dalam memastikan pengurusan sumber awam, pelaburan dan projek pembangunan memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat.

Profesor Dato’ Paduka Seri Is. Dr. Tunza Mohd Riduan berkata, kekayaan sumber semula jadi dan potensi besar Sarawak dalam sektor tenaga, pertanian, pelancongan, pembuatan serta ekonomi digital tidak memadai untuk menjamin kemakmuran sekiranya tidak disokong tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.

Menurutnya, pengurusan dana awam yang berintegriti dapat mengurangkan risiko pembaziran, konflik kepentingan dan penyalahgunaan sumber, selain meningkatkan keyakinan pelabur serta komuniti perniagaan terhadap Sarawak.

“Dalam konteks pembangunan ekonomi, integriti mempunyai hubungan langsung dengan kecekapan pengurusan dana awam dan pelaksanaan projek.

“Pengurusan yang bertanggungjawab memastikan hasil pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang mampan untuk rakyat,” katanya dalam konteks sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 (HIS 2026) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), 12 Ogos lalu.

Beliau berkata, perkara itu semakin penting ketika Sarawak melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, pembangunan berskala besar memerlukan proses membuat keputusan, perolehan, pemantauan dan pengurusan kewangan yang telus bagi memastikan pelaburan awam mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Nilai pelaburan awam akhirnya bergantung kepada keberkesanan proses perolehan, pemantauan dan akauntabiliti.

“Justeru, integriti bukan sekadar nilai moral, tetapi aset ekonomi yang membantu memastikan sumber, pelaburan dan program pembangunan menghasilkan manfaat jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, peralihan Sarawak ke arah ekonomi hijau dan digital turut menjadikan tadbir urus berintegriti semakin penting, terutama dalam sektor tenaga hidro, hidrogen hijau, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi baharu.

Katanya, piawaian kawal selia serta tadbir urus yang telus mampu memperkukuh kredibiliti Sarawak dalam menarik pelaburan antarabangsa dan membina hubungan strategik dengan rakan ekonomi.

Pada masa sama, pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya, jambatan, elektrifikasi luar bandar dan jaringan komunikasi perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab bagi memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati manfaat ekonomi.

Menurutnya, pembangunan inklusif juga memerlukan pengurusan sumber dan bantuan secara adil supaya akses kepada pendidikan, kesihatan, air bersih, elektrik, pengangkutan dan hubungan digital tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.

Beliau berkata, integriti turut memainkan peranan dalam membina kepercayaan rakyat terhadap institusi awam kerana kestabilan politik dan sosial bukan sekadar bergantung kepada ketiadaan konflik, tetapi juga tahap keyakinan masyarakat terhadap proses membuat keputusan kerajaan.

“Apabila masyarakat yakin keputusan kerajaan dibuat secara adil dan bertanggungjawab, kepercayaan terhadap institusi awam dapat diperkukuh, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih stabil untuk pembangunan ekonomi dan sosial,” katanya.

Sehubungan itu, beliau melihat usaha memperkukuh mekanisme akauntabiliti seperti Ombudsman di Sarawak serta peranan Unit Integriti dan Ombudsman (UNIONS) sebagai penting dalam mengenal pasti risiko pentadbiran lebih awal, termasuk dalam perolehan, pelesenan dan pengurusan sumber awam.

Beliau berkata, integriti juga perlu diterapkan sebagai budaya dalam kalangan masyarakat, termasuk melalui institusi pendidikan, organisasi masyarakat dan agensi kerajaan, supaya nilai kejujuran, keadilan serta tanggungjawab tidak terhad kepada slogan sambutan semata-mata.

“Ukuran sebenar kemakmuran Sarawak bukan hanya pada sejauh mana negeri ini berkembang, tetapi bagaimana pembangunan itu dicapai secara bertanggungjawab, adil dan mampan,” katanya.

Tema HIS 2026, ‘Integriti Teras Kemakmuran Sarawak’, justeru dilihat membawa mesej bahawa kekuatan ekonomi, kestabilan institusi dan keharmonian sosial perlu bergerak seiring bagi memastikan pembangunan Sarawak dapat dinikmati generasi kini dan akan datang.

Oleh Tarani Lanting