SIBU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan bahawa intipati pendidikan tinggi bukan hanya terletak pada pencapaian akademik, tetapi juga dalam pengintegrasian nilai-nilai yang membentuk individu yang seimbang.
Beliau berkata, graduan harus mengamalkan nilai teras seperti keluarga, tanggungjawab sosial, penjagaan alam sekitar, teknologi, dan kemanusiaan untuk menghadapi cabaran negara.
“Realiti negara kita kini dibayangi oleh rasuah, salah urus, penyalahgunaan kuasa, dan pelanggaran amanah yang mencemari masyarakat.
“Ini adalah cabaran besar yang membebani rakyat dan mengancam integriti moral negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Konvokesyen Ke-9 Universiti Teknologi Sarawak (UTS), yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, hari ini.
Beliau menambah bahawa sistem pentadbiran dan pengurusan perlu berteraskan nilai-nilai murni yang melangkaui batas etnik, agama, kedudukan sosial, dan status ekonomi untuk membina semula keyakinan rakyat dan memulihkan maruah negara.
Sebagai Canselor UTS, beliau mengingatkan tanggungjawab besar institusi tersebut bukan hanya untuk menyampaikan ilmu, tetapi juga untuk membentuk karakter dan jiwa graduan.
“Kejayaan kita akan diukur melalui kemampuan untuk menanamkan nilai etika, akauntabiliti, dan kekuatan dalaman dalam diri mereka,” jelasnya.
Mengulas tentang masa depan UTS, beliau turut menekankan bahawa universiti tersebut bersedia untuk menyumbang kepada visi besar Sarawak untuk menjadi wilayah maju menjelang 2030.
“Inisiatif kerajaan untuk menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada semua rakyat Sarawak adalah peluang yang luar biasa.
“Saya menggesa anda, graduan kami, dan pelajar masa depan, untuk merebut peluang ini dan menjadi sebahagian daripada tenaga kerja mahir yang akan membawa Sarawak maju.
“Melalui kepakaran, kepimpinan, dan inovasi anda, anda akan membantu menjadikan Sarawak hebat, menyumbang kepada matlamat bersama kami untuk kemakmuran dan kemajuan,” ujarnya.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Datuk Dr. Annuar Rapaee yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah UTS, Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid dan kenamaan yang lain.
Oleh Tarani Lanting