Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Integrasi ekonomi serantau beri manfaat kepada KKIA
  • BISNES

Integrasi ekonomi serantau beri manfaat kepada KKIA

Utusan Sarawak 20 hours ago
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

KUALA LUMPUR: Usaha untuk menyepadukan lagi ekonomi serantau di tengah-tengah peralihan dinamik perdagangan global memberi prospek yang baik kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) berikutan kedekatannya dengan pasaran utama Asia Timur dan rantau ASEAN.

Faktor ini meletakkan KKIA di kedudukan strategik yang unik, yang memerlukan strategi pembangunan jangka panjang, kata Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah Dr Nungsari Ahmad Radhi.

“Saya yakin dengan (prospek) KKIA, dan saya fikir perlu ada lebih banyak perbincangan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mengenai strategi pembangunan jangka panjang Kota Kinabalu sebagai hab pengangkutan,” katanya.

Prospek Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

“(jarak) KKIA dua jam lebih dekat dengan pasaran utama Asia Timur seperti Filipina, Korea, China dan Jepun berbanding Kuala Lumpur.

“Lapangan terbang itu sudahpun berkembang sebagai destinasi penumpang tetapi masih belum berkembang sebagai destinasi kargo,” katanya menerusi satu temu bual eksklusif bersama Bernama.

Nungsari, bekas pengerusi eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, kini berkhidmat sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif MAHB.

“Terdapat juga pembangunan infrastruktur penting yang sedang dilaksanakan di Kalimantan, didorong terutamanya berikutan pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara di Kalimantan Timur.

“Borneo bakal menjadi pusat graviti di rantau ini dan pembangunan KKIA perlu dirancang dengan teliti, dengan mengambil kira potensi pertumbuhannya dan kekangan sedia ada,” katanya.

Dilaporkan bahawa pembesaran KKIA yang menelan kos kira-kira RM442.3 juta dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini setelah mendapat kelulusan Kabinet pada November.

Perluasan itu akan meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang tahunan lapangan terbang tersebut daripada sembilan juta kepada 12 juta penumpang setahun.

Penaikan taraf itu termasuk perluasan terminal utama, tempat letak kereta bertingkat baharu, tujuh ruang parkir pesawat tambahan dan pembaikan jalan di sekitar lapangan terbang.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kunci kepada pelan ketersambungan penerbangan serantau

Sementara itu Nungsari berkata, walaupun Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mempunyai sasaran yang sama, namun ia berdepan cabaran yang lebih besar berbanding KKIA.

Namun begitu, beliau tetap yakin dengan peluang kedua-dua lapangan terbang itu untuk mengukuhkan sektor penerbangan Malaysia, menjadi penghubung antara Kalimantan dan semenanjung.

Negara-negara ASEAN perlu fokus kepada pertumbuhan ekonomi, ketersambungan

Beliau berkata ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China dan keputusan sebelah pihak yang sering diambil oleh AS akan membawa perubahan yang ketara kepada perdagangan global.

Justeru, katanya, walau apapun keputusannya, ASEAN perlu terus bersatu untuk bertindak balas terhadap perubahan ini sebagai satu blok.

“Kunci kepada integrasi ekonomi ini ialah pengangkutan dan logistik dalam rantau ini, serta menghubungkannya dengan dunia luar.

“Tambahan pula, pertumbuhan perdagangan intra-ASEAN bergantung kepada ketersambungan yang lebih meluas di rantau ini,” katanya.

Nungsari berkata ASEAN mempunyai pelbagai inisiatif, iaitu Komuniti Ekonomi ASEAN, ASEAN FTA, ASEAN +3, dan perkumpulan itu juga merupakan sebahagian daripada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau yang merangkumi 15 negara di ASEAN, China, Jepun, Korea, Australia dan New Zealand.

Menurutnya, potensi inisiatif ini sebahagian besarnya masih belum dipenuhi, dan kini masa yang sesuai untuk merealisasikannya.

Beliau berpandangan lebih banyak pergerakan penduduk dan barangan merentasi sempadan dalam ASEAN akan mengukuhkan lagi rantau ini sebagai blok ekonomi.

“Tumpuan sekarang adalah lebih kepada kawalan sempadan dan bukannya menggalakkan pengaliran barangan yang lebih besar. Langkah ini tidak menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan integrasi.

“Perlu ada lebih banyak inisiatif dua hala seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, dan inisiatif terdahulu seperti IMT-GT dan BIMP-EAGA perlu dirancakkan semula” katanya.

Nungsari juga berkata integrasi ekonomi melangkaui infrastruktur, kerana ASEAN perlu mencapai keseragaman kastam untuk membolehkan pergerakan bebas barangan di rantau ini.

Beliau berkata ini akan membolehkan perusahaan kecil dan sederhana di seluruh rantau memanfaatkan permintaan yang lebih besar, di luar sempadan negara mereka.

“Ia juga akan menjadikan ASEAN sebagai pasaran yang menarik untuk melabur. Pasaran tunggal dengan 600 juta populasi, sebenarnya, bukan sahaja berpotensi (tetapi) memiliki kelebihan yang ketara berbanding saiz China atau India,” katanya.

Mengenai persaingan geopolitik yang berterusan antara AS dan China, Nungsari berpendapat ASEAN dan Malaysia harus bertindak demi kepentingan mereka sendiri.

“Kita lakukan apa sahaja yang memberi manfaat kepada kita. Tidak kira sama ada dengan AS, China, atau sesiapa sahaja. Dalam erti kata itu kita perlu terus kekal tanpa diskriminasi.

“Itu sepatutnya pendirian kita. Tetapi kita sedar tentang kejiranan yang kita diami. Kita sedar tentang ketegangan yang wujud. Dan kita sedar bahawa dunia sedang mengalami peralihan,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS
Next: Kadar jangka pendek dijangka stabil, BNM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.