
BINTULU: Institusi keluarga perlu diperkukuh bagi memastikan masyarakat terus stabil dan berdaya tahan menghadapi cabaran semasa.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing berkata, ibu bapa harus memberi perhatian khusus terhadap pendidikan, perkembangan sosial dan keselamatan anak-anak kerana keluarga merupakan asas pembentukan nilai serta sahsiah generasi muda.
“Ibu bapa perlu peka dan memastikan pengawasan berterusan terutama berkaitan penggunaan media sosial agar anak-anak membesar dalam persekitaran selamat dan positif,” katanya.
Tiong berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas II beliau, Steven Kong Kai Seng semasa program Hari Keluarga Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) di Bangunan PPWS Daerah di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut menekankan peranan golongan wanita dalam memastikan kesejahteraan keluarga serta pembangunan komuniti secara keseluruhan.
“Wanita adalah tunjang penting dalam keluarga, masyarakat dan bidang pekerjaan.
“Dedikasi dan komitmen mereka menyumbang kepada kekuatan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran Hari Keluarga PPWS seiring usaha mengukuhkan hubungan sesama ahli melalui aktiviti santai yang menekankan nilai kekeluargaan dan kebersamaan.
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja memberi ruang berinteraksi, tetapi turut menyokong inisiatif PPWS dalam memperkasa wanita melalui latihan, kebajikan dan pembangunan keluarga.
Oleh Carolyne Utih