
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ ditahan polis semalam selepas disyaki mencetuskan kekecohan di pekarangan kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata penahanan wanita itu dilakukan susulan insiden pertengkaran antara suspek dengan petugas di lokasi kejadian yang dikhuatiri boleh menggugat ketenteraman awam.
Beliau berkata suspek kini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Tangkapan dibuat semalam kerana berlaku sedikit perkara di luar jangka yang boleh menimbulkan kekecohan melibatkan pertengkaran dengan penjaga di sini.
“Kita telah mendapatkan perintah reman selama satu hari terhadap suspek. Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya selepas program kepolisian komuniti ‘Thaneer Panthal’ PDRM di kuil berkenaan, di sini hari ini.
Difahamkan, Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023, selepas terlibat dengan beberapa kes lain termasuk menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.
Sebelum ini, wanita itu beberapa kali tular dalam media sosial kerana didakwa menimbulkan kekecohan di beberapa tempat seperti kedai makan dan mengganggu tugas polis.
Mengenai kawalan keselamatan sempena sambutan Thaipusam, Mohd Khalid berkata sebanyak 1,400 pegawai dan anggota polis ditempatkan di sekitar Batu Caves menerusi ‘Ops Palu 2026’.
Operasi yang bermula sejak 30 Januari lepas dan berakhir 3 Februari ini menyaksikan penugasan anggota keselamatan selama 24 jam yang dibahagikan kepada empat zon, iaitu A, B, C dan D.
“Kita menjangkakan kehadiran pengunjung sebanyak 1.4 hingga 1.5 juta, yang akan membanjiri Batu Caves bagi meraikan Thaipusam kali ini.
“Setakat ini, keadaan keselamatan terkawal sepenuhnya tanpa sebarang insiden besar. Moral petugas juga berada pada tahap yang tinggi dalam memastikan kelancaran perayaan,” katanya.
Mohd Khalid berkata kawalan keselamatan turut dibantu oleh 275 anggota daripada pelbagai agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
-Bernama