PETRA JAYA: Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan untuk menilai keadaan cerun di seluruh negeri bagi mengenal pasti langkah berjaga-jaga yang boleh diambil.
Ini berikutan tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri awal hari ini yang meragut empat nyawa setakat ini, seorang lagi dipercayai masih tertimbus, manakala dua orang daripada tujuh jumlah isi rumah ditemui selamat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pihaknya masih menilai situasi di Miri itu dan jika perlu, akan memanggil pakar dari Kuala Lumpur untuk membantu operasi.
“Usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih giat diteruskan bagi mengesan mangsa yang belum ditemui.
“Saya menasihati penduduk yang tinggal di lereng bukit agar sentiasa berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Uggah turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.
Menurutnya, kejadian tanah runtuh merupakan antara cabaran utama di Sarawak, dengan kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM60 juta tahun lalu bagi membaik pulih jalan dan jambatan yang terjejas akibat tanah runtuh.
Sementara itu, beliau berkata semua pasukan pengurusan bencana kini berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya bagi memastikan keselamatan mangsa banjir yang dipindahkan.
Katanya, sebanyak 16 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri berikutan hujan lebat dan banjir yang melanda beberapa kawasan, termasuk di Bintulu, Serian, Kuching, dan Sibu.
“Saya menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir supaya bersedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah apabila diarahkan. Ini penting bagi menyelamatkan nyawa,” katanya.
Menurut Uggah, masih terdapat segelintir penduduk yang enggan berpindah, namun beliau berharap kesedaran mereka semakin meningkat.
Berhubung keperluan bantuan tambahan, Uggah memberi jaminan bahawa kerajaan Sarawak sentiasa bersedia membantu rakyat yang terkesan.
“Premier Sarawak sentiasa prihatin dalam situasi sebegini dan akan memberikan sokongan jika diperlukan. Yang penting, kita pastikan semua jentera bertindak pantas dan cekap,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan MOHD NEENATUL AIZAL