KUCHING: Bot-bot awam yang beroperasi berhampiran dengan lokasi latihan peserta Regata Sarawak dinasihatkan untuk memperlahankan kelajuan bot bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, para pendayung yang berlatih juga perlu menggunakan jaket keselamatan setiap kali sesi latihan di sungai.
Katanya, setakat ini, sesi latihan untuk peserta Regata Sarawak lain berjalan seperti biasa, walaupun selepas insiden bot karam yang melibatkan 16 mangsa semalam.
“Mana-mana bot awam yang melalui kawasan latihan, perlahankanlah (pergerakan). Ini kerana kalau pergerakan perlahan, ombak yang dihasilkan tidaklah besar.
“Sebelum ini, memang semasa latihan mereka tidak menggunakan jaket latihan, jadi saya nasihatkan mana-mana peserta yang menjalani latihan untuk menggunakan jaket keselamatan.
“Ini kerana dengan cuaca panas dan keletihan, sekiranya perahu itu karam, usaha untuk menyelamatkan diri mungkin gagal, oleh itu, pakaikanlah jaket keselamatan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media hari kedua operasi mencari dan menyelamat lima mangsa daripada Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) yang terlibat dalam satu insiden bot karam semalam di Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai operasi hari ini, beliau menyatakan bahawa seramai enam penyelam dikerahkan ke lokasi kejadian dalam usaha mencari mangsa hilang.
Bagaimanapun, keadaan air keruh merencatkan operasi penyelaman.
“Jarak penglihatan yang terhad menjadi cabaran utama untuk para penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat,”katanya.
Setakat ini, belum ada sebarang petunjuk keberadaan mangsa dijumpai.
Operasi menyelamat hari ini disertai oleh 12 agensi penyelamat dengan kekuatan 137 orang anggota.
Oleh SHAHRUL QAIZAT