
KUALA LUMPUR: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) telah diaktifkan untuk pekebun kecil getah di Sabah dan Sarawak bagi Mac 2026 susulan harga purata ladang bagi getah sekerap di kedua-dua negeri berada pada paras lebih rendah, kata Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Dalam satu kenyataan, lembaga itu berkata harga purata ladang bagi getah sekerap pada Mac ialah RM2.95 sekilogram (kg) di Sabah dan RM2.85 sekilogram di Sarawak, iaitu di bawah paras ambang RM3.00 sekilogram yang diperlukan untuk mengaktifkan insentif.
Bagaimanapun, insentif itu tidak diaktifkan di Semenanjung Malaysia berikutan harga purata yang lebih tinggi iaitu RM3.30 sekilogram.
LGM berkata kadar IPG bagi getah sekerap di Sabah ditetapkan pada lima sen sekilogram bagi kandungan getah kering (KGK) 50 peratus dan 10 sen sekilogram bagi KGK 100 peratus, manakala di Sarawak, kadar masing-masing ialah 15 sen dan 30 sen sekilogram.
Sementara itu, kadar IPG bagi lateks ditetapkan pada 90 sen sekilogram bagi lateks dengan KGK 100 peratus dan akan diaktifkan serentak dengan insentif getah sekerap.
LGM berkata pekebun kecil yang layak di Sabah dan Sarawak akan menerima bayaran IPG bagi tempoh 1 hingga 30 April 2026, berdasarkan pengeluaran getah bagi Mac 2026. – Bernama