
SIBU: Seramai 52 pelajar telah menerima Insentif Pendidikan DUN Nangka Siri 7/2025 pada majlis yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Nangka, Jalan Bandong, petang tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan penerima insentif tersebut adalah seramai 313 pelajar.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Menurut Dr Annuar, pemberian insentif tersebut adalah sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi.
“Insentif ini bertujuan untuk meraikan semua pelajar yang berjaya ke menara gading tanpa mengamalkan konsep ‘pelajar terbaik’ semata-mata.
“Kami mahu berlaku adil kepada semua. Bukan hanya pelajar terbaik diberi penghargaan, sebaliknya siapa sahaja yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi akan diraikan,” jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu menegaskan, pendekatan itu memberi peluang sama rata kepada semua pelajar, sekali gus mengiktiraf usaha dan komitmen mereka untuk menyambung pengajian.
“Jumlah 313 pelajar ini sangat besar, dan kami berasa gembira dapat membantu sedaya upaya. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada para pelajar yang lain,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kelab Belia Rumpun Pewaris Sibu (RPS), Mohamad Shahran Mohamad Lizamberi.
Oleh Akun Giman