Insentif pelajar cemerlang bukti komitmen Sarawak perkasa pendidikan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
RAKAMAN kenangan Datuk Mong Dagang pada Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2025 bagi pelajar SMK Melugu, hari ini. Foto ADUN Bukit Begunan

SRI AMAN: Kerajaan Sarawak terus komited menghargai kecemerlangan akademik pelajar menerusi pelbagai bentuk insentif sebagai galakan kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, penghargaan yang diberikan bukan sekadar mengiktiraf pencapaian pelajar, malah menjadi pemangkin semangat untuk mereka mengekalkan kecemerlangan pada masa hadapan.

Menurut beliau, generasi pelajar cemerlang hari ini merupakan aset penting negeri yang bakal mengambil alih peranan sebagai pemimpin dan tenaga profesional dalam mencorakkan masa depan Sarawak.

“Kerajaan melakukan pelbagai cara untuk meningkatkan motivasi golongan pelajar selain menawarkan insentif kewangan kepada mereka yang memperoleh keputusan cemerlang, di samping menyediakan bantuan biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melugu, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 54 pelajar menerima insentif dalam bentuk wang tunai sebagai penghargaan atas pencapaian cemerlang mereka.

Mengulas lanjut, Mong berkata, usaha berterusan itu menperlihatkan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan mampu memacu pembangunan negeri pada masa hadapan.

“Umum mengetahui pendidikan mampu mengubah taraf ekonomi seseorang, sekali gus memberi impak positif kepada masyarakat dan bangsa ke arah yang lebih maju,” tambah beliau.

Dalam majlis sama, Mong turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 bagi menyokong aktiviti sekolah serta peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2027 sebanyak RM200,000 untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan sekolah.

Beliau berharap segala bantuan dan peruntukan yang disalurkan itu dapat meningkatkan lagi mutu kemudahan pendidikan di SMK Melugu, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang pada masa hadapan.

Oleh Adi Safarman