KERAJAAN Sarawak telah memperkenalkan beberapa insentif kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi milik penuhnya, Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Antara insentif ini termasuklah Biasiswa Yayasan UTS, Biasiswa Prasiswazah dan Pascasiswazah UTS dan Skim Biasiswa UTS, selain bantuan kewangan daripada Yayasan Sarawak.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Biasiswa Yayasan UTS dibiayai oleh Kerajaan Sarawak untuk semua pelajar dan dalam bentuk yuran pengajian berjumlah RM10,000 bagi setiap pelajar.
“Untuk tujuan ini, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM4.5 juta hingga RM7 juta setahun, bergantung kepada bilangan pelajar maksimum 700 orang bagi program asas di UTS,” ujarnya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran UTS.
Ketua Menteri berkata, Biasiswa Prasiswazah dan Pascasiswazah UTS turut dibiayai oleh Kerajaan Sarawak untuk warga Sarawak dengan pengurangan yuran pengajian sebanyak 50 peratus bagi semua program prasiswazah dan pascasiswazah.
Berdasarkan unjuran lima tahun katanya, Kerajaan Sarawak menyumbang antara RM17.2 juta atau RM27 juta setahun, bergantung kepada kapasiti keseluruhan pelajar seramai 4,000 orang.
“Skim Biasiswa UTS pula untuk warga Sarawak kategori B40 dan M40. Skim biasiswa ini adalah hasil kerjasama pihak UTS dan Yayasan Sarawak bertujuan untuk membantu warga Sarawak dengan pengurangan 80 peratus yuran pengajian.
“Skim ini akan menampung seramai 100 pelajar bumiputera dan 100 pelajar bukan Bumiputera setahun. Ini melibatkan sumbangan atau komitmen kerajaan berjumlah RM3 juta setahun,” ujarnya.
Menyentuh mengenai bantuan kewangan daripada Yayasan Sarawak, Ketua Menteri mengumumkan pinjaman pelajaran tanpa faedah untuk menampung pembelajaran serta kos sara hidup semasa melanjutkan pelajaran di UTS.
“Dengan adanya biasiswa dan insentif kewangan ini, ia akan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Sarawak di semua peringkat untuk melanjutkan pelajaran ke UTS yang merupakan milik penuh Kerajaan Sarawak.
“Inisiatif ini juga akan memberi akses yang lebih besar kepada pendidikan tinggi kepada semua pelajar yang berada di kawasan luar bandar terutama pelajar yang dari kategori B40 dan M40.
“Dengan adanya rombakan dari segi yuran dan sumbangan yang besar dari pihak kerajaan negeri, maka UTS dijangka akan dapat meningkatkan bilangan pelajar sehingga 4,000 pelajar menjelang tahun 2024,” ujar beliau.
Ketua Menteri turut bersetuju dengan penubuhan Datuk Patinggi Tan Sri Wong Soon Kai Research Chair in Medical Devices and Innovation di UTS, dengan geran sebanyak RM2 juta.
UCTS ditubuhkan pada 1 April 2013 dan dianugerahkan status universiti penuh pada 8 November 2021 oleh KPT, sebelum ditukar nama kepada UTS.
Sejak ditubuhkan, UTS telah melahirkan 2,200 graduan dengan mencatatkan purata kadar kebolehpasaran graduan yang tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 99.1 peratus.
Oleh AKUN GIMAN