
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyediakan insentif serta dana bagi menggalakkan penerbitan karya yang mengetengahkan aspek sejarah dan budaya tempatan.
Demikian menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis Penyampaian Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Beliau menggesa agar para penulis di negeri ini menghasilkan karya mendalam berkaitan sejarah dan budaya Sarawak, khususnya berfokus kepada dua tajuk penting iaitu kisah Bukit Sadong dan Rentap, serta kisah Merpati Jepang yang berkait dengan Lidah Tanah dan Siniawan, yang dipercayai mampu merungkai ‘benih kuasa’ yang wujud di kawasan berkenaan.
Dalam usaha mengiktiraf dan menyokong penulisan bermutu tinggi, Abang Johari turut mengumumkan peningkatan hadiah wang tunai bagi Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak.

Bagi kategori terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ganjaran dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM15,000, manakala kategori Terbitan Luar dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.
“Untuk menggalakkan penulisan berasaskan fakta, saya bersetuju agar ganjaran dinaikkan sebagai dorongan kepada penulis menghasilkan karya yang lebih berintelek dan berkualiti,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus menyalurkan dana bagi menyokong penganjuran anugerah seperti ini sebagai langkah memperkasa budaya ilmu dan memupuk penulisan bermutu demi manfaat generasi akan datang.
Pada majlis itu, dua buku telah menerima Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak iaitu Empurau: Ikan Eksotik Sarawak karya Emilyn Badut, Mohd Saiful Fadli Maidin dan Siti Hawa Mohamad Ali (Kategori Terbitan DBP), serta Negeri Santubong: Sejarah Awal Sarawak 300ESS–1647ES oleh Datu Dr. Sanib Said (Kategori Terbitan Luar). – JAPEN