KUCHING: Kerajaan negeri komited terhadap inovasi sebagai kunci untuk mendorong kepada pertumbuhan ekonomi di Sarawak menjelang tahun 2030 dan seterusnya.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang dilancarkan pada 22 Julai lalu merangkumi inovasi sebagai salah satu daripada tujuh pembolehnya.
Katanya, dengan memanfaatkan sumber semula jadi Sarawak, inovasi akan menumpukan pada pengembangan kemampuan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan aplikasi komersial yang diselaraskan dengan bioteknologi, aplikasi digital dan tenaga boleh diperbaharui.
“Dengan adanya penyelidikan yang dijalankan di Sarawak ia dapat menjadi nilai tambah kepada aset yang ada dan seterusnya dapat membangunkan budaya sebagai penyelidik di negeri ini.
“Malahan negara maju menghabiskan sekitar tiga hingga lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka untuk Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk membuka potensi nilai tambah sumber daya.
“Inovasi melalui Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) adalah ciri ekonomi yang berjaya dan Kementerian Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) dibentuk untuk menerajui inisiatif penyelidikan teknikal di Sarawak,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO