KUCHING: Perkhidmatan awam yang menekankan inovasi dan integriti di negeri ini merupakan kunci kepada pembangunan Sarawak dalam mencapai visi 2030 sebagai sebuah wilayah maju, dipacu oleh data dan idea-idea baharu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, gabungan kedua-dua elemen ini membolehkan perkhidmatan awam di Sarawak terus unggul dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, terutama dalam mendepani pelbagai cabaran semasa.
Menyifatkan integriti sebagai asas kepada semua pencapaian, beliau menekankan bahawa elemen tersebut dan pengetahuan harus seimbang bagi memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi agar dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Perkhidmatan awam di Sarawak berada dalam kategori tertinggi kerana anda semua bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berintegriti.
“Inilah kekuatan kita dan dengan ini, saya yakin kita mampu menghadapi cabaran yang lebih besar di masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2024 di sebuah hotel di sini malam tadi.
Abang Johari turut berkongsi bahawa Sarawak kini berada di landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran pembangunan melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Kecekapan perkhidmatan awam adalah faktor penting dalam merealisasikan visi yang berfokuskan tiga tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterlibatan rakyat dan keseimbangan pembangunan serta alam sekitar,” katanya.
SCSICA adalah acara kemuncak sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak, lebih dikenali sebagai SCSIMon, bermula pada 25 September 2024 dengan tema “Kecemerlangan Penyampaian Perkhidmatan Berteraskan Integriti dan Inovasi.”
Anugerah tahun ini menampilkan 12 kategori yang mengetengahkan usaha dan inovasi luar biasa dari 50 Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang berjaya ke peringkat akhir dalam acara berprestij ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan.