Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Inovasi dan persaingan sengit warnai Robomaster Antarabangsa Borneo
  • TEMPATAN

Inovasi dan persaingan sengit warnai Robomaster Antarabangsa Borneo

Utusan Sarawak 3 hours ago
 KENANGAN… Tetamu kehormat merakam gambar kenangan bersama perserta program Pertandingan Robomaster Antarabangsa Borneo 2025, di Kuching, hari ini.

KUCHING: Kolej Universiti i-CATS menjadi tuan rumah Forum dan Pertandingan Robomaster Antarabangsa Borneo 2025 yang menghimpunkan lebih 371 peserta berdaftar dari Semenanjung, Brunei, Sabah serta seluruh Sarawak.

Program dua hari anjuran DJI Droneskaki Sarawak dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) serta Business Events Sarawak itu sekali lagi mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab dinamik dalam bidang robotik, aplikasi dron dan pembangunan bakat kejuruteraan.

Tetamu kehormat bagi majlis perasmian ialah Timbalan Setiausaha Tetap MEITD, Anielia Siam yang mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

Dalam ucapan yang disampaikan mewakili menteri, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan bakat inovasi.

“Sarawak komited memperkasa generasi baharu dengan peluang pendidikan dan teknologi yang sebelum ini sukar dicapai. Melalui inisiatif strategik dan kerjasama seperti ini, kita membina aliran bakat tempatan yang akan menggerakkan ekonomi inovasi negeri,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa bidang teknikal bukan lagi pilihan pinggiran.

“Robotik, dron dan kemahiran digital bukan lagi pilihan sampingan — ini adalah asas tenaga kerja masa depan Sarawak. Kami mahu lebih ramai anak Sarawak berani meneroka bidang STEM dan menjadi peneraju dalam aeroangkasa, automasi serta kecerdasan buatan,” tegasnya.

Bagi pihak institusi penganjur, Dekan Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa i-CATS UC, Profesor Ir. Dr. Shuhaimi Mansor menyampaikan ucapan alu-aluan.

Menurut beliau, kerjasama antara i-CATS UC dan Droneskaki Sarawak bermula ketika penganjuran NASA Space Challenge awal tahun ini sebelum berkembang menjadi platform strategik untuk melatih inovator muda melalui aktiviti langsung seperti robot terbang, pengekodan, pemasangan komponen serta reka bentuk kejuruteraan.

Beliau menegaskan pendekatan tersebut selari dengan keutamaan pembangunan di bawah Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).

“Dron kini memiliki peranan penting dalam pertanian, pengurusan alam sekitar, keselamatan awam dan kesihatan. Kemahiran kritikal yang dilatih hari ini menyokong pembangunan industri masa depan seperti kecerdasan buatan, automasi, aeroangkasa dan bandar pintar,” jelasnya.

PROFESOR Ir. Dr. Shuhaimi Mansor menyampaikan ucapan alu-aluan pada Program Forum dan Pertandingan Robomaster Antarabangsa Borneo 2025, di Kuching hari ini.

Sebagai institusi pertama di Borneo menawarkan Ijazah Kejuruteraan Aeroangkasa, i-CATS UC komited melahirkan generasi jurutera baharu Sarawak.

Hubungan dengan institusi tempatan dan antarabangsa serta syarikat gergasi industri seperti Boeing dan Turkish Aerospace, ujar beliau, mencerminkan misi membina keupayaan tempatan yang mampu mereka bentuk, membina, menguji dan menyepadukan teknologi sendiri.

Beliau menegaskan bahawa robotik, kejuruteraan dan kemahiran digital merupakan nadi tenaga kerja masa depan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau menekankan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Kerajaan Sarawak (FTES) bermula 2026 yang akan memperluas akses pengajian tinggi dan menggalakkan penyertaan dalam bidang berasaskan teknologi.

TIMBALAN Setiausaha Tetap MEITD, Anielia Siam yang mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berucap pada Pertandingan Robomaster Antarabangsa Borneo 2025, di Kuching, hari ini.

Empat pertandingan utama menjadi tumpuan peserta dan penonton iaitu Pertandingan Robomaster, Bola Sepak Dron, Cabaran Perlumbaan Dron dan Pertandingan Sumo Robot.

Sesi forum dan teknikal dikendalikan pakar dari i-CATS UC, Swinburne University of Technology Sarawak, AirAsia Magic, U Best dan rakan industri lain.

Program diteruskan hari ini dan dijadualkan tamat esok dengan majlis penyampaian anugerah meraikan pencapaian cemerlang dalam robotik dan prestasi dron.

Oleh Norman B

Continue Reading

Previous: Anak meninggal dunia, ibu buta merangkak ke jalan minta pertolongan
Next: MPP serah surat tawaran kepada kontraktor bagi dua projek RTP

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.