KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa tulisan tangan pada beberapa helaian kertas yang diperiksa berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir mempunyai persamaan dengan tulisan tangan yang dikenal pasti sebagai milik seorang individu bernama “Wina”.
Pemeriksa dokumen forensik, Tay Eue Kam, berkata tulisan pada helaian Y9B, Y10A dan Y10B mempunyai persamaan dengan tulisan yang dikenal pasti sebagai milik Wina berdasarkan kesan yang ditemukan pada halaman 50i jurnal Love And Peace berwarna hijau zaitun yang ditandakan sebagai WK9.
Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Joan Goh yang mewakili seorang daripada remaja yang didakwa dalam kes buli membabitkan Zara Qairina.
Tay berkata kesan lekukan pada halaman 50i WK9 diperoleh semula menggunakan Alat Pengesan Elektrostatik (ESDA), dan bersetuju bahawa kesan itu mungkin berasal daripada halaman yang hilang atau terkoyak, atau daripada halaman lain yang sebelum ini diletakkan di atas halaman 50.
Bagaimanapun, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai spesimen tulisan tangan sebenar Wina untuk dibuat perbandingan.
“Saya tidak mempunyai spesimen tulisan tangan Wina, tetapi apa yang saya ada ialah tulisan tangan yang dinyatakan sebagai milik Wina pada halaman 50i dokumen WK9,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di sini hari ini.
Ditanya sama ada Wina wujud atau sebaliknya, Tay menjawab: “Saya tidak tahu.”
Beliau turut berkata Y9B, Y10A dan Y10B diletakkan dalam kumpulan yang sama selepas perbandingan dibuat terhadap catatan daripada Y1A hingga Y15B.
Menurut laporannya, terdapat perbezaan antara catatan tulisan tangan dalam kumpulan berkenaan dengan spesimen tulisan tangan Zara Qairina, sekali gus memberikan petunjuk kukuh bahawa Zara Qairina bukan penulis catatan tersebut.
Ketika ditanya sama ada Y9B, Y10A dan Y10B ditulis oleh Wina, Tay berkata ciri-ciri tulisan berkenaan adalah serupa dengan tulisan yang dikenal pasti sebagai milik Wina.
Mengenai kandungan Y9B yang menyentuh perkara berkaitan ibu Zara Qairina, Tay berkata beliau bukan individu yang sesuai untuk menjelaskan perkara tersebut.
Dalam sesi soal jawab lanjut, saksi itu berkata laporannya tidak mengandungi carta perbandingan khusus bagi Y9B, Y10A dan Y10B, walaupun beliau menegaskan bahawa persamaan dan perbezaan tulisan telah dianalisis.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4.00 pagi.
Prosiding inkues dijadualkan bersambung dari 7 hingga 11 September, dengan Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Dr Chua Sze Hung, dan Pegawai Bahagian Pemeriksaan Dokumen Jabatan Kimia, Nurul Atiqah Mohd Noh, dijangka dipanggil semula untuk memberi keterangan.
Selepas itu, prosiding akan mendengar keterangan bapa dan kakak tiri Zara Qairina, manakala pemeriksaan di lokasi kejadian atau locus in quo ditetapkan pada 5 Oktober ini. – Bernama





