Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Inkues Zara: Saksi nampak Zara Qairina dalam keadaan pucat di tandas asrama
  • MAHKAMAH

Inkues Zara: Saksi nampak Zara Qairina dalam keadaan pucat di tandas asrama

Utusan Sarawak 7 hours ago
GAMBAR hiasan. Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Seorang pelajar junior memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa dia melihat wajah Zara Qairina Mahathir dalam keadaan pucat ketika remaja itu berada di dalam tandas asrama pada malam sebelum ditemukan meninggal dunia.

Keterangan itu diberikan saksi kanak-kanak ke-20, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, pada hari ke-27 prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini.

Berkongsi keterangan saksi itu, peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh yang mewakili ibu kepada Zara Qairina berkata saksi memaklumkan insiden berkenaan berlaku pada 12.30 tengah malam (16 Julai), selepas dia ke tandas bersama seorang rakan di aras tiga asrama sekolah berkenaan.

“Semasa menunggu, saksi menghadap cermin dan dia ternampak dari cermin kepala dan muka Zara di atas dinding tandas nombor satu. Saksi berkata keadaan Zara seolah-olah sedang memerhati siapa yang ada dalam tandas.

“Lampu tandas ketika itu berpasang dan saksi dapat cam Zara. Muka Zara pada ketika itu kelihatan ‘pucat-pucat sikit’,” kata Mohd Syarulnizam ketika berkongsi keterangan saksi kepada pemberita selepas prosiding.

Beliau berkata saksi turut memaklumkan bahawa mereka menunggu kira-kira lima minit namun Zara Qairina tidak keluar daripada tandas, sebelum beredar untuk mengejutkan ketua dorm dan rakan-rakan bilik mangsa.

“Namun, tidak ada ahli dorm yang mahu bangun… Ketua dorm cuma berkata ‘Kenapa dia berkurung juga tu? Biar la dia tu’. Ahli dorm lain pula cuma kelihatan mamai dan cuma sambung tidur balik saja,” tambah Mohd Syarulnizam.

Beliau berkata saksi juga mengesahkan wujud budaya teguran keras dan sindiran oleh pelajar senior terhadap pelajar junior di asrama, termasuk dengan cara menegur kuat tanpa menyebut nama pelajar yang boleh menyebabkan rasa malu kepada pelajar junior.

Sementara itu, peguam Joan Goh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina berkata saksi kanak-kanak ke-21, yang juga pelajar di sekolah itu memberitahu mahkamah bahawa mangsa seorang yang suka memendam perasaan dan menulis dalam diari.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.

Prosiding Inkues akan bersambung pada Isnin 27 Okt.

-BERNAMA

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Tangisan Zara Qairina “Aku nda curi bah” jadi detik terakhir diingati rakan sebilik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.