
KOTA KINABALU: Ibu kepada seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa anak perempuannya hanya berkongsi cerita mengenai insiden menimpa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir selepas hampir tiga bulan kerana masih mengalami trauma.
Wanita berusia 41 tahun itu mendedahkan anaknya, yang merupakan saksi kanak-kanak ke-65 dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina, memaklumkan lebih lanjut berhubung insiden malang menimpa remaja berkenaan kepadanya kira-kira September dan Oktober tahun lepas.
Wanita itu kemudian memaklumkan perkara terbabit kepada seorang tenaga pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, iaitu Ustazah Shukriah Fauzi antara Januari dan Februari lepas bagi mendapat kepastian sama ada anaknya turut diambil keterangan berhubung insiden itu.
“Anak saya ada memberitahu kenapa dia berasa trauma. Bila saya tanya kenapa baru bagitahu (ambil masa menceritakan lanjut mengenai kejadian) jawapannya, dia takut. Kami nampak perubahan dia selepas kejadian ini. Dia dalam keadaan tidak selesa dan rasa bersalah,” katanya.
Ibu saksi kanak-kanak itu menyatakan demikian ketika menjawab soalan peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang mewakili bapa mangsa, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding hari ini.
Ketika membacakan keterangan saksinya, wanita itu berkata sewaktu bertemu anaknya pada 16 Julai 2025, anaknya memberitahu bahawa Allahyarham Zara Qairina jatuh dari bangunan asrama dan meminta untuk mendoakan rakannya itu, namun tidak menceritakan dengan lebih lanjut.
“Saya melihat anak saya pada masa itu berada dalam keadaan emosi, tertekan dan menangis teresak-esak. Hampir tiga bulan kemudian, barulah anak saya menceritakan apa yang terjadi dengan lebih lanjut apa yang dia tahu berkenaan kejadian tersebut,” katanya.
Wanita itu yang merupakan saksi ke-66 dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina berkata anaknya menceritakan bahawa pada malam sebelum kejadian, dia telah berjanji untuk berjumpa rakannya di blok A Rabiatul Adawiyah selepas waktu prep (persediaan) tetapi tertidur.
Saksi berkata anaknya menceritakan dia terjaga daripada tidur sekitar 1.00 pagi sebelum pergi ke blok asrama itu untuk berjumpa rakannya dan semasa dia mahu balik semula ke biliknya di blok B, dia ternampak kelibat seorang pelajar perempuan berlegar-legar di aras tiga blok A.
Wanita itu memberitahu anaknya kemudian naik ke aras tiga dan menepuk belakang pelajar perempuan tersebut dan mendapati pelajar itu adalah Zara Qairina.
Wanita itu berkata anaknya kemudian memegang tangan Zara Qairina dan membawa remaja itu masuk ke bilik sebelum anaknya beredar untuk pulang tidur ke biliknya di Blok B Sumaiyyah.
Ibu saksi kanak-kanak itu turut memaklumkan anaknya ada memberitahu bahawa semasa perjumpaan dengan pelajar secara beramai-ramai di sekolah, terdapat seorang anggota polis wanita bertanya tentang apa yang dia tahu.
Beliau berkata anaknya telah menceritakan semuanya kepada anggota polis wanita tersebut tetapi anggota polis itu telah meninggikan suara dan bertanya “kenapa pergi ke blok A pada masa itu?” sehingga menyebabkan anaknya menangis.
“Kemudian terdapat seorang anggota polis lelaki telah menenangkan anak saya dan dia telah menceritakan semuanya kepada anggota polis lelaki tersebut tetapi anak saya tidak tahu adakah ceritanya ada direkodkan atau tidak,” katanya.
Wanita itu berkata selepas kejadian menimpa Zara Qairina, anaknya lebih banyak berdiam diri dan seperti menyalahkan diri sendiri, selain selalu menggigil akibat trauma melampau ekoran daripada kejadian di asrama tersebut.
“Anak saya memaklumkan kepada saya bahawa sehari sebelum kejadian dia ada nampak Zara (Zara Qairina) tidak ceria seperti selalu dan apabila ditegur pun Zara hanya senyum sahaja dan tiada berinteraksi.
“Anak saya menyalahkan dirinya kerana tidak bercakap dengan Zara, mungkin sekiranya dia ada bercakap atau berbual dengan Zara, kejadian itu mungkin tidak akan berlaku. Sememangnya pada masa itu anak saya sibuk dengan pertandingan dan latihan hoki sekolah,” katanya.
Susulan pendedahan anaknya itu, wanita berkenaan mengambil keputusan untuk menghubungi seorang guru di sekolah tersebut dan menceritakan perkara berkenaan sebelum keterangannya diambil oleh pihak polis.
Sementara itu, peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, ketika berkongsi keterangan saksi kanak-kanak tersebut berkata dia hanya tampil memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina kerana bimbang timbul salah faham dan takut dipersalahkan.
Shahlan berkata saksi kanak-kanak tersebut memberitahu dia berasa risau dan takut terhadap kemungkinan salah faham daripada media dan netizen berikutan saksi menganggap dia adalah orang terakhir terjumpa Zara Qairina sebelum insiden malang menimpa pelajar tingkatan satu itu.
Prosiding disambung esok.
Semalam, dilaporkan saksi kanak-kanak ke-65 itu, yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai saksi, tampil memberi keterangan pada prosiding inkues kematian Zara Qairina.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya, sekitar 4.00 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis, manakala pada 8 Ogos 2025, AGC mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.- Bernama