Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Inkues Zara Qairina: Ketua warden sebak dengan kecaman ‘netizen’
  • MAHKAMAH

Inkues Zara Qairina: Ketua warden sebak dengan kecaman ‘netizen’

Utusan Sarawak 6 hours ago
BANGUNAN asrama perempuan Blok Rabiatul Adawiyah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha. Foto BERNAMA


KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner di sini hari ini berlangsung penuh emosi apabila seorang saksi meluahkan kesedihan dan terkilan dengan kecaman netizen atau warga siber.

Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Azhari Abd Sagap, 31, tidak dapat menahan sebak ketika memberi penjelasan tentang kecaman yang dilemparkan ke atasnya pada hari kesembilan prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Saksi kelapan itu menegaskan bahawa beliau serta pihak sekolah tidak pernah melindungi sesiapa, sebaliknya sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dengan menyerahkan semua bukti dan keterangan berkaitan kes berkenaan.

“Kalau kami mahu melindungi pembuli atau pembunuh Zara Qairina, saya tidak akan ceritakan apa (insiden tuduhan curi) yang berlaku pada malam 15 Julai itu kepada pegawai polis. Saya maklumkan perkara itu sebelum ibu Zara Qairina membuat laporan polis kali kedua.

“Saya sendiri yang berurusan dengan polis. Apa-apa polis minta, siapa sahaja yang polis mahu bawa ke IPD Papar saya bawa, termasuklah audio ‘Kak M’. Saya juga yang memberitahu polis siapa ‘Kak M’,” katanya.

Azhari menegaskan bahawa remaja yang dikatakan sebagai ‘Kak M’ di media sosial bukanlah ‘Kak M’ yang sebenar. 

Sebaliknya remaja yang dikaitkan itu merupakan seorang pelajar baik yang hampir setiap tahun menyertai pertandingan hafazan sekolah serta antara tiga pelajar terawal menamatkan Ujian Akhir Sesi Akademik pada tahun lepas.

“Tuduhan terhadap pelajar terbabit sangat kejam hanya kerana dia orang pertama menemui Zara Qairina tidak sedarkan diri di asrama pada awal pagi 16 Julai lepas. Kalau tiada dia, bagaimana keadaan Zara Qairina? Mungkin Zara Qairina sudah kehilangan nyawa di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau memberikan keterangan itu ketika menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar yang mewakili empat tertuduh kanak-kanak dalam kes Zara Qairina.

Saksi juga sedih atas kecaman yang dilemparkan ke atasnya hanya kerana melakukan segala usaha bagi menyelamatkan Zara Qairina selain memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dengan menyerahkan segala bukti.

“Adakah ini yang patut saya terima? Adakah ini patut sekolah terima? Tiada apa yang kami selindung. Kami sudah memberitau semua perkara. Semua itu tanggungjawab saya. Saya tidak mahu Zara Qairina teraniaya. Tapi, itulah sekarang ini, memang sekolah teraniaya termasuk saya sendiri.

“Saya ada … saya tunggu sampai Zara Qairina dicabut mesin. Saya tunggu Zara Qairina di mortuary (rumah mayat). Saya juga bertemu dan berbual dengan ibu Zara Qairina ketika berada di hospital hingga hari pengebumian remaja itu di Sipitang. Saya ada. Saya ikut solat sampai ke perkuburan. Inikah patut saya terima?,” soal saksi itu.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada kira-kira 4.00 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.- Bernama

Continue Reading

Previous: Saman Fitnah: Caprice perlu fail pembelaan pada 2 Oktober ini
Next: Ketua Warden Asrama persoal ibu Zara Qairina berdiam walau anak mengadu masalah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.