KOTA KINABALU: Seorang pakar perunding psikiatri memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa Zara Qairina Mahathir berada dalam keadaan sedar dan dapat mengecam individu di sekelilingnya dalam pertemuan terakhirnya dengan seorang pelajar pada malam sebelum dia ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya, 16 Julai tahun lepas.
Merujuk kepada keterangan seorang pelajar senior yang mendakwa merupakan individu terakhir melihat Zara Qairina sebelum kejadian, Dr Wong Haw Huo bagaimanapun berkata semasa pertemuan berkenaan, Zara Qairina dilihat berada dalam keadaan tertekan.
Beliau berkata keterangan oleh pelajar senior itu, yang juga saksi ke-65 bahawa ‘wajahnya kelihatan merah seperti baru menangis’ menunjukkan Zara Qairina mengalami tekanan emosi yang mendalam selepas mengasingkan diri dalam tandas.

“Mungkin dia (Zara Qairina) baru sahaja keluar tandas dan kemudian terserempak dengan saksi dan dia mengenali pelajar itu serta wajahnya kelihatan seperti baru nangis,” katanya.
Dr Wong berkata saksi terbabit turut memberi keterangan bahawa Zara Qairina menyatakan ‘saya mahu pindah sekolah’ diikuti dengan ‘saya mahu terjun’ namun si mati sukar menjelaskan sebab di sebalik kata-kata itu rentetan kejadian yang baru berlaku beberapa jam sebelum itu.
“Zara dikatakan telah dituduh oleh kumpulan (sekumpulan pelajar) dengan berdepan konfrontasi berulang kali daripada kumpulan terbabit serta dimalukan di hadapan rakan sebaya. Dia menangis, menjerit namun tiada sesiapa memujuknya.
“Dia ke tandas dengan harapan ada seseorang akan datang mencarinya kerana pada masa itu dia berada dalam keadaan sangat rapuh dan emosinya tidak stabil. Dia mahu memulihkan keadaan psikologinya,” kata Dr Wong semasa inkues kematian Zara Qairina hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pegawai pengendali prosiding Mohd Fairuz Johari sama ada Zara Qairina benar-benar jelas implikasi tindakan ‘terjun’ apabila diterangkan perbuatan berkenaan boleh menyebabkan kematian.
Dr Wong berkata beliau tidak dapat mengesahkan Zara Qairina memahami akibat daripada tindakan berkenaan, tanpa terlebih dahulu menentukan tahap pemahaman dan keupayaan remaja itu pada waktu itu.
“Dia berada dalam ruang yang sempit dan tertutup di bilik asrama dan tiada sesiapa termasuk rakan sebiliknya datang untuk bertanya kepadanya. Ini kali pertama mereka melihat Zara mengalami tekanan emosi begitu teruk. Keadaan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Kita dapat lihat betapa teruk tekanan psikologi dialaminya, perasaan negatif yang begitu kuat dalam dirinya. Dia mahu mencari bantuan atau sokongan namun tiada sesiapa yang tampil membantu,” katanya.
Sementara itu, Dr Wong berkata terdapat laporan bahawa Zara Qairina dianggap oleh sesetengah rakan sebagai seorang yang gemar mendapatkan perhatian terutama kerana kecenderungannya untuk menonjol dalam pergaulan sosial dan digambarkan sebagai seorang yang peramah dan mesra oleh rakan sekolah rendah, guru-guru serta rakan sebaya.
Beliau berkata keperibadian berkenaan mungkin telah ditafsirkan secara berbeza oleh individu yang kurang mengenalinya, khususnya dalam persekitaran baharu sekolah berasrama.
“Bagi mereka yang tidak begitu mengenalinya, terutama rakan sebaya dan pelajar senior, mereka mungkin menganggap pelajar junior itu sebagai seseorang yang gemar mendapatkan perhatian kerana sering bercakap dengan kuat, sangat peramsah dan tidak memahami sistem hierarki di sekolah berasrama,” katanya.
Dr Wong berkata penilaian beliau tidak bersandarkan andaian semata-samata, sebaliknya disokong oleh maklumat daripada pelbagai saksi dan sumber termasuk kandungan negatif yang ditujukan kepada Zara Qairina menerusi media sosial serta gelaran seperti ‘sok Badar’ dan ‘sok cantik’ yang didakwa diberikan oleh sesetengah rakan sebayanya.
Beliau berkata tanggapan negatif sedemikian mencerminkan pandangan sesetengah rakan sebaya atau pelajar senior terhadap Zara Qairina dan mungkin menyebabkan dia mudah menjadi sasaran, dengan ada yang menganggapnya sebagai seorang yang suka menimbulkan masalah.
“Kita tidak boleh menafikan perkara ini telah menyebabkan kesukaran dalam hubungan interpersonal yang berlaku secara berterusan dari Mac, April, Mei, Jun hingga Julai,” katanya.
Terdahulu pada prosiding berkenaan, mahkamah turut bertafakur bagi mengenang genap setahun pemergian Zara Qairina, yang ketika itu berusia 13 tahun.
Koroner Amir Shah Amir Hassan mengajak semua yang berada dalam kamar mahkamah untuk berdiri dan bertafakur selama seminit sebelum prosiding disambung semula pada hari ke-83 inkues kematian Zara Qairina.
“Umat Islam dipersilakan membaca surah al-Fatihah dan mendoakan kesejahteraan buat Allahyarham, manakala penganut bukan Islam boleh berdoa mengikut kepercayaan masing-masing,” katanya.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas dia ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan berhampiran longkang di asrama sekolahnya pada sekitar 4.00 pagi.
Prosiding inkues bersambung esok. – Bernama


