KUALA LUMPUR: INIX Technologies Holdings Bhd (INIX) telah menceburi industri durian yang menguntungkan melalui kerjasama strategik dengan pengeluar produk durian tempatan, Duria Manufacturing Sdn Bhd.
Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, Pengarah Eksekutif INIX, Siva Kumar Kalugasalam berkata di bawah kerjasama itu, INIX akan mendapatkan rantaian bekalan untuk Duria sebanyak 5,000 tan durian sejuk beku jenis Musang King, 2,000 tan pes durian dan 1,000 tan pulpa Musang King dalam tempoh lima tahun akan datang.
”Sebagai balasan, Duria akan dapat melancarkan kempen integrasi menegak huluannya,” kata Siva.
Kedua-dua syarikat itu merancang untuk membina tiga loji pemprosesan utama baharu berteknologi canggih, yang terletak di Perak manakala dua lagi akan dibangunkan di lokasi yang akan ditentukan kemudian.
Ketua Pegawai Eksekutif Duria, Wong Woei Ming yang menyifatkan industri durian sebagai amat menguntungkan berkata Musang King kini berada pada paras RM60 sekilogram (kg) manakala purata harga tahunan bagi 2020 dijangka berada pada paras RM40 sekilogram.
Purata harga pes durian pula kini berada pada paras RM50 bagi setiap kg dan pulpa Musang King pada harga RM100 untuk setiap kg.
Wong mendedahkan Duria telah melabur berjuta-juta ringgit dalam teknologi pengeluaran yang termaju termasuk mesin pembekuan pantas nitrogen cecair, mesin pengopek buah separa automatik, teknologi vakum untuk pengeluaran pulpa dan pensterilan tekanan tinggi puri buah bagi mencapai kecekapan pengeluaran terbaik dan indikator kebersihan untuk keselamatan makanan dan kualiti yang unggul.
Syarikat itu juga telah membangunkan pastri durian segar yang inovatif dan kuih bulan Musang King untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat, sambil menambah pada masa ini, produk Duria dijual di Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, China, Hong Kong dan Singapura.
Wong juga mendedahkan bahawa syarikat sedang merancang untuk disenarai awam dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memperkenalkan jenamanya di peringkat antarabangsa serta untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai pelan penyenaraian tersebut. -Bernama