
BINTULU: Usaha mempelbagaikan penggunaan sumber tempatan seperti beras mampu membuka peluang keusahawanan baharu kepada komuniti, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu berkata, inovasi pembuatan sabun beras bukan sahaja menyokong pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), malah berpotensi tinggi untuk dikomersialkan kerana permintaan terhadap produk penjagaan diri berasaskan bahan semula jadi semakin meningkat.
“Bengkel ini memberi ruang kepada peserta mempelajari kemahiran baharu yang boleh diterjemahkan kepada sumber pendapatan.
“Jangan berhenti pada peringkat pembelajaran, tetapi hasilkan produk dan uji pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Pembuatan Sabun Berasaskan Beras anjuran Dewanita Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Bintulu di Dewan Suarah di sini, semalam.
Datuk Rosey turut memuji inisiatif DUBS Bintulu dengan sokongan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak dalam memperkasa masyarakat melalui program yang menekankan kreativiti, inovasi dan kelestarian.
Katanya, kerjasama antara agensi kerajaan, swasta dan komuniti penting bagi memastikan inisiatif pembangunan ekonomi setempat dapat diteruskan secara konsisten.
Program berkenaan menghimpunkan peserta dari pelbagai latar yang berminat mempelajari proses pembuatan sabun beras sebagai langkah memulakan perniagaan kecil berasaskan produk semula jadi.
Oleh Tarani Lanting