
MUZDALIFAH (Arab Saudi): Inisiatif Makkah Route, antara inisiatif unggul Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi di bawah Program Pengalaman Jemaah Haji dalam Visi Saudi 2030, berjaya menamatkan operasinya bagi musim Haji tahun ini, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Inisiatif itu dilaksanakan dari 12 lapangan terbang di lapan negara: Maghribi, Indonesia, Malaysia, Pakistan, Bangladesh, Turkiye, Côte d’Ivoire dan buat pertama kali, Maldives.
Inisiatif itu memberi manfaat kepada seramai 314,337 jemaah yang telah tiba di Arab Saudi.
Kesemua jemaah berlepas menerusi 899 penerbangan dari balai pelepasan khas, menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz di Madinah.
Inisiatif Makkah Route bertujuan menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi dan lancar kepada jemaah dari negara-negara terlibat, dengan melengkapkan prosedur perjalanan utama di negara asal mereka.
Prosedur itu termasuk pengumpulan data biometrik, pengeluaran visa Haji secara elektronik, pemeriksaan imigresen di lapangan terbang selepas pengesahan kesihatan, serta pengkodan dan penyusunan bagasi mengikut pengaturan pengangkutan dan penginapan setiap jemaah di Arab Saudi.– Bernama-SPA