

BINTULU: Usaha membantu keluarga berpendapatan rendah membuat persiapan awal persekolahan diteruskan menerusi penganjuran Program Kembali Ke Sekolah 2026 oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Bahagian Bintulu.
Ketua Bahagian TBS Bahagian Bintulu, Zaini Ramli berkata, program tahunan itu memberi tumpuan kepada penyediaan keperluan asas sekolah di samping memperkukuh hubungan antara ibubapa, anak-anak dan pihak penganjur.
Menurut beliau, pelbagai kelengkapan persekolahan diagihkan kepada kanak-kanak bagi memastikan mereka bersedia dari segi peralatan dan penampilan sebelum sesi persekolahan bermula.
“Selain meringankan beban kewangan ibubapa, program ini turut menjadi platform untuk ibubapa mendapatkan maklumat berkaitan bantuan persekolahan dan sokongan yang disediakan oleh TBS,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kembali Ke Sekolah 2026 TBS yang berlangsung di Balai Raya Jepak, di sini hari ini.
Zaini berkata, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan potong rambut secara percuma dengan kerjasama wakil Yayasan Kebajikan Anak-anak (YKAB) dari Kuching sebagai persediaan awal anak-anak sebelum kembali ke sekolah.
Ujar beliau, ibubapa turut diberi peluang mendapatkan penjelasan lanjut mengenai bantuan khusus untuk murid sekolah rendah dan menengah, termasuk syarat serta keperluan permohonan.
Oleh Carolyne Utih