
KUALA LUMPUR: Inisiatif rantau kecil seperti IMT-GT dan BIMP-EAGA bukan sahaja membuahkan hasil tetapi terbukti menjadi pelengkap penting kepada Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dalam meningkatkan perdagangan, pelaburan dan ketersambungan serantau.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata walaupun AEC menetapkan rangka kerja makroekonomi yang lebih meluas, memberi keutamaan kepada kawasan rantau kecil juga telah menangani jurang pembangunan dengan menyasarkan kawasan terpinggir dan kurang membangun sambil menggerakkan agenda pertumbuhan inklusif ASEAN
“Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) IMT-GT menguasai Selat Melaka, satu daripada laluan perdagangan paling sibuk di dunia, manakala Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) berada di sepanjang Laut Sulu dan Laut Sulawesi, laluan hubungan maritim, yang membantu meningkatkan perdagangan, pelaburan dan ketersambungan merentas ASEAN dan melangkaui darinya.
“Kekuatannya terletak pada tumpuan terhadap apa yang dipanggil pakar ekonomi sebagai “spatial economics” (menumpu kepada lokasi aktiviti ekonomi dan peruntukan sumber merentas ruang geografi) – yang menyasarkan kepada wilayah mundur,” katanya kepada Bernama.
Rantau kecil ini bukanlah kawasan rawak malah terletak di lokasi strategik di sepanjang koridor maritim yang penting, katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Sedek berkata IMT-GT tertumpu kepada pemprosesan tani dan pelancongan, memanfaatkan kesesuaian antara selatan Thailand, utara Semenanjung Malaysia dan Sumatera, manakala BIMP-EAGA pula memanfaatkan kekuatannya dalam perikanan, tenaga boleh baharu dan ekopelancongan.
“Ini bukan pendekatan yang disesuaikan bagi semua situasi atau keperluan; ia bertujuan memanfaatkan kelebihan tempatan untuk memasuki rantaian nilai serantau dan global,” katanya.
Kedua-dua rantau kecil itu membangunkan zon ekonomi khas (SEZ), yang berfungsi sebagai daya tarikan utama ekonomi untuk menarik pelaburan asing, mendorong pertumbuhan perindustrian dan mencipta peluang pekerjaan melalui insentif dan peraturan yang diselaraskan.
Di IMT-GT, zon seperti Medan dan Bukit Kayu Hitam di Malaysia, atau Sei Mangkei di Indonesia, sudahpun mula rancak dengan aktiviti manakala BIMP-EAGA mempunyai lebih 60 SEZ dari Bitung di Indonesia hingga Zamboanga di Filipina.
“Zon ini bukan sekadar kilang – ia adalah enjin transformasi struktur yang memupuk ekonomi aglomerasi – kelompok perniagaan, pekerja, dan infrastruktur yang saling menerima manfaat daripada kekuatan antara satu sama lain untuk memacu pertumbuhan.
“Dengan menghubungkan SEZ ini kepada perdagangan dan pelaburan rentas sempadan, IMT-GT dan BIMP-EAGA sedang membina jambatan kepada perpaduan ekonomi ASEAN yang lebih meluas,” katanya.
Sektor yang Boleh Dimanfaatkan di IMT-GT dan BIMP-EAGA
Mohd Sedek berkata ASEAN boleh memanfaatkan IMT-GT dan BIMP-EAGA menerusi sektor seperti pelancongan, perniagaan tani, tenaga boleh baharu dan pembuatan.
Pelancongan kekal sebagai sektor berimpak tinggi dengan pertumbuhan kukuh dalam pelancongan eko dan halal disokong oleh kempen pelancongan rentas sempadan yang dipromosikan oleh IMT-GT di bawah Wawasan 2036.
BIMP-EAGA pula memfokuskan kepada ekopelancongan berasaskan komuniti dan pelancongan pelbagai negara yang sejajar dengan piawaian ASEAN, terutamanya di kawasan hutan hujan seperti Heart of Borneo dan Wilayah Eko Marin Sulu-Sulawesi.
Mohd Sedek berkata kedua-dua rantau kecil itu menyasar untuk membina rantaian nilai bersepadu dalam sektor perniagaan tani, dengan IMT-GT mendahului dalam pemprosesan tani seperti minyak sawit dan getah, manakala BIMP-EAGA berfungsi sebagai bakul makanan ASEAN (udang, beras dan rumpai laut), sambil menambah industri makanan halal turut mendapat manfaat daripada pelengkap serantau ini.
Beliau berkata terdapat potensi tenaga geoterma di Kalimantan serta tenaga lautan dan biodiesel, sambil menambah peralihan tenaga bersih penting berikutan peningkatan kos tenaga, yang boleh memberi manfaat kepada negara ASEAN yang lain.
Begitu juga sektor pembuatan apabila industri berorientasikan eksport di SEZ seperti Medan, Sei Mangkei dan Lhokseumawe memacu transformasi struktur dan integrasi yang lebih mendalam ke dalam rantaian nilai serantau.
IMT-GT dan BIMP-EAGA majukan agenda pembangunan ASEAN
Mohd Sedek berkata kedua-dua rantau kecil itu menjadi platform kritikal untuk memajukan agenda pembangunan inklusif ASEAN dengan menyasarkan wilayah yang ketinggalan dari segi ekonomi dan agak jauh dari segi geografi.
Menurutnya, ia membantu dari segi merapatkan jurang pembangunan antara negara dan meningkatkan penyebaran ekuiti serta cabaran yang tidak ditangani sepenuhnya oleh AEC.
“Sebagai contoh, koridor ekonomi IMT-GT seperti koridor Pulau Pinang-Medan menjana perdagangan bernilai US$4.2 bilion (RM17.8 bilion) pada 2024, manakala projek infrastruktur rentas sempadan Malaysia-Thailand telah meningkatkan lagi kesalinghubungan.
.“Begitu juga, Wawasan 2025 BIMP-EAGA telah memangkin AS$2.8 bilion (RM11.87 bilion) pelaburan infrastruktur, termasuk menaik taraf pelabuhan Davao dan Bitung, mengukuhkan daya tahan serantau dan menyokong matlamat ketersambungan ASEAN yang lebih luas di bawah Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025,” katanya.
Selain infrastruktur, Mohd Sedek berkata kedua-dua rantau kecil itu juga telah meningkatkan ekonomi tempatan dengan membangunkan SEZ dan mengukuhkan rantaian nilai serantau.
Beliau memberi contoh Koridor Ekonomi Selatan Thailand — disokong di bawah IMT-GT — yang menjana lebih 15,000 pekerjaan pada 2023, dengan projek yang bukan sahaja menarik pelaburan asing dan menyepadukan usahawan ke dalam rantaian bekalan serantau tetapi juga menggalakkan pelengkap sektor dalam pertanian, tenaga dan pelancongan.
Pendekatan didorong projek koridor itu melengkapkan mekanisme ASEAN, berfungsi sebagai asas bagi memencarkan integrasi.
“Dengan memperkukuh hubungan perdagangan, memupuk pembangunan modal insan dan meningkatkan tadbir urus rentas sempadan, IMT-GT dan BIMP-EAGA membantu melindungi ASEAN daripada risiko rantaian bekalan global dan memajukan trajektori pertumbuhan serantau yang lebih berdaya tahan, seimbang dan berpaksikan rakyat,” katanya.
-Bernama