
BINTULU: Pendekatan pertanian moden melalui Inisiatif Tunas Hidro diyakini mampu menjadi solusi mampan terhadap isu keselamatan makanan bandar dan pada masa sama memperkasa komuniti melalui amalan hijau dan lestari.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Muhammad Yakup Kari berkata, inisiatif itu bukan sahaja relevan dengan cabaran semasa malah membuktikan bahawa sektor pertanian boleh disesuaikan sebagai pemangkin kesejahteraan komuniti berpendapatan rendah (B40).
“Kita melihat pertanian hidroponik bukan sekadar kaedah moden tetapi sebagai satu cara untuk mewujudkan peluang penjanaan pendapatan serta menggalakkan amalan mesra alam dan menyumbang kepada kesihatan serta ketahanan komuniti.
“Ini adalah antara usaha nyata untuk menjadikan Bintulu bukan sekadar maju dari segi perindustrian, tetapi juga berdaya tahan, inklusif dan berorientasikan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Inisiatif Tunas Hidro dan Pupuk Alam, Semai Masa Depan (NNF) 2025 yang diadakan di Perpustakaan Awam BDA, cawangan Kidurong, hari ini.
Menurutnya, program itu turut disokong oleh rakan strategik seperti Syarikat Awam Terhad Penerokaan dan Pengeluaran PTT (PTTEP) Malaysia selaku penaja utama, Lions Club of Bintulu Kidurong sebagai badan bukan kerajaan (NGO) pelaksana dan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) sebagai penyedia latihan serta bimbingan teknikal kepada peserta.
Beliau turut menegaskan bahawa kelestarian tidak dapat dicapai oleh satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan kolaborasi menyeluruh melibatkan sektor korporat, NGO, akademia dan komuniti setempat.
“Kolaborasi, perkongsian ilmu dan penglibatan pelbagai pihak adalah asas kejayaan program sebegini.
“Semangat kerjasama inilah yang akan memastikan kesinambungan pembangunan komuniti secara holistik dan lestari,” ujarnya.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan dua aktiviti serentak di bawah program NNF iaitu penanaman pokok dan pengumpulan sisa elektronik sebagai simbol komitmen terhadap penjagaan alam sekitar dan amalan kitar semula dalam komuniti.
Program tersebut juga diadakan bersempena ulang tahun ke-47 BDA yang disambut pada 8 Julai lalu, menjadikan inisiatif seumpama itu sebagai antara pencapaian penting agensi dalam memperkukuh pembangunan mampan di Bintulu.
Oleh Carolyne Utih