
BINTULU: Program Kembali ke Sekolah: Gunting Rambut Percuma Bersama Abang S akan dianjurkan pada Sabtu ini bagi membantu pelajar membuat persiapan awal sebelum memulakan sesi persekolahan baharu 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan pelajar tampil kemas, teratur dan lebih yakin apabila kembali ke sekolah.
“Sempena ‘Kembali Ke Sekolah 2026’, kita ingin memastikan adik-adik memulakan sesi persekolahan dengan penampilan yang kemas, segak dan berkeyakinan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menurut beliau, program itu terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah lelaki dengan penyertaan dihadkan kepada 50 orang berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat.
Program tersebut akan berlangsung dari 8.00 pagi hingga 3.00 petang di dua lokasi iaitu Pondok KRT RPR SPPS Sebiew dan Padang Futsal Kampung Warisan.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa dan penjaga supaya tidak melepaskan peluang menyertai program berkenaan yang disediakan secara percuma bagi membantu meringankan beban persiapan persekolahan.
Oleh Carolyne Utih