KUCHING: Sinonim dengan gelaran Pekan Emas Sarawak, Bau, sebuah daerah di Bahagian Kuching,kini menemui ‘emas’ dalam bentuk baharu yang berpotensi menjadi destinasi pelancong menarik di negeri ini.
Beberapa projek telah dirancang di Bau dalam tempoh 10 tahun akan datang di bawah inisiatif ‘Greater Bau’, daerah yang terletak kira-kira 40 kilometer dari sini.
Pelan pembangunan untuk menarik pelancong itu antaranya melibatkan pembinaan Bau Gold Mine Museum and Park (Muzium Perlombongan Emas dan Taman Bau) serta Tasik Biru Resort City,yang pastinya dinanti-nantikan oleh majoriti penduduk Bau.
Muzium Perlombongan Emas dan Taman Bau ini,akan menjadi pemangkin untuk mengubah wajah daerah ini secara holistik menjadi sebuah bandar warisan emas di Sarawak serta akan memberi tonik dalam pembangunan sektor pelancongan Bau, khususnya komponen berkaitan alam, budaya dan ekopelancongan.
Pembinaan projek Tasik Biru Resort City yang akan dimulakan tidak lama lagi itu, bakal terdiri daripada hotel, chalet dan restoran terapung,kerusi kabel merentasi tasik, kawasan persiaran sekitar tasik dan taman untuk orang awam sekali gus akan melengkapkan pelan pembangunan projek
muzium.
TAWAR PERCUTIAN UNIK
Projek berkenaan pastinya menawarkan percutian yang unik dan mampu menarik kunjungan lebih ramai pelancong selain dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep memberitahu Bernama bahawa Muzium Perlombongan Emas dan Taman Bau itu, bakal menjadi destinasi tarikan terbaharu pelancongan daerah itu.
Menurut Henry, sebuah syarikat perunding telah dilantik untuk menjalankan kajian Pelan Induk pembangunan kedua-dua projek berkenaan dengan mengambilkira aspek fizikalan kelebihan Daerah Bau
sebagai Pekan Emas Sarawak.
“Muzium Perlombongan Emas dan Taman Bau ini akan menjadi teras dalam hab pembangunan pelancongan di Tasik Biru yang akan turut memberi faedah limpahan kepada bandar-bandar warisan penting berdekatan.
“Yang pasti, pembangunan pelancongan yang dipacu oleh pembinaan Muzium Perlombongan emas itu akan meningkatkan pelaburan dan memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan serta akan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi di daerah ini,” kata Henry.
UNTUK PEMBANGUNAN DAERAH BAU
Beliau berkata, Greater Bau yang dilancarkan Ketua Menteri Datuk Patinggi
Abang Johari Tun Openg pada 31 Disember lepas bukan sahaja demi pembangunan Daerah Bau semata-mata, malah untuk pembangunan keseluruhan Daerah Bau.
Katanya, pelan induk Greater Bau ini meliputi dari Kampung Lidah Tanah (di bawah kawasan Batu Kitang), Serikin, Jagoi dan Singai (di bawah wilayah Tasik Biru), Siniawan,Tondong, Buso, Krokong,Pangkalan Tebang dan Gumbang (di bawah Daerah Serembu).
“Kita perlu melakukan desentralisasi. Sebab itu,kita namakannya sebagai Greater Bau. Pembangunannya tidak hanya tertumpu di pekan Bau tetapi secara menyeluruh yang akan dinikmati oleh semua kaum di Daerah Bau termasuk Bidayuh, Cina dan Melayu,” kata Henry.
Menurut Henry, Bau dan Siniawan, suatu Ketika dahulu pernah menjadi pekan yang sibuk namun Bau yang mempunyai sejarah perlombongan emas selama 200 tahun bermula pada tahun 1820-an, masih agak mundur.
Ini kerana, hasil aktiviti perlombongan terutama mineral antimoni dan emas hanya memberi sedikit manfaat kepada penduduk setempat di daerah ini,katanya.
“Ada cerita jenaka yang menyatakan bahawa apa yang tinggal di Bau hanyalah “parit” besar, hasil daripada kegiatan perlombongan.
Maka di bawah inisiatif Greater Bau, ia diharap dapat mengubah pekan ini sebagai hab ekopelancongan ditambah dengan nilai sejarah, budaya dan adat setempat sebagai produk.
“Pembangunan infrastruktur dan kemudahan moden seperti dalam Rangka Tindakan Bau 2016-2030, pembangunan Tasik Biru Resort City, Muzium Bau dan konsep Greater Bau, semestinya akan memberi limpahan manfaat kepada penduduk Bau dan rakyat Sarawak secara keseluruhannya,” tambah Henry.
PACU AKTIVITI EKONOMI
Sementara itu, Ketua Kampung Gumbang Atok Derop berkata, Pelan pembangunan Greater Bau adalah konsep inspirasi untuk mengembangkan
lagi pekan Bau dan bandar berdekatan demi untuk memacu aktiviti ekonomi terutama industri ekopelancongan tempatan.
“Oleh itu, kami pemimpin masyarakat setempat menyokong sepenuhnya usaha untuk mengubah Bau sebagai destinasi pelancongan yang ikonik, terutama dalam menjejaki sejarah perjalanan pelombong-pelombong emas
dalam kalangan orang Cina dari Sambas, di Indonesia ke Kampung Gumbang,sebelum pelombong meneruskan perjalanan ke Bau sekitar awal tahun 1800-an,” kata Atop.
Justeru, beliau menggesa Kementerian Pelancongan,Kesenian dan Kebudayaan Negeri dan Persekutuan mempertimbangkan untuk membangunkan produk ekopelancongan di Kampung Gumbang, terutama
mengenai jejak sejarah kisah pelombong-pelombong emas ini.
Sementara itu, seorang Perunding Alam Sekitar Burhanudin Abu Bakar yakin bahawa pembangunan Muzium Perlombongan Emas dan Taman Bau
itu dapat menjadi pusat sehenti untuk memperkenalkan tempat menarik yang lain di daerah ini.
“Bau akan menjadi sebuah bandar yang menarik bagi memikat kedatangan pelancong ke Sarawak,” katanya.-Bernama