SHEILA ZAIDI
KUCHING : Peningkatan jumlah orang yang dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak adalah ekoran daripada tindakan lebih tegas yang dilaksanakan oleh pihak polis ketika ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, pada peringkat awal PKP sebelum ini, polis hanya mengambil pendekatan memberi nasihat atau amaran sahaja.
“Sekarang sudah hampir sebulan PKP dikuatkuasakan dan rasanya sudah cukup untuk kami memberi nasihat atau amaran.
“Oleh demikian, polis akan bertindak lebih tegas dalam mengeluarkan kompaun atau menangkap orang-orang yang tidak bekerjasama serta menghalang tugas kami,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Dev, bagi tempoh 24 jam bermula dari jam 8.00 pagi Sabtu sehingga 8.00 pagi semalam, jumlah yang dikompaun kerana ingkar PKP meningkat kepada 95 berbanding 89 orang bagi tempoh masa yang sama pada 10 hingga 11 April, 73 orang (9 hingga 10 April) dan tujuh orang (8 hingga 9 April).
Katanya, daripada 95 orang yang dikompaun itu, Kuching merekodkan jumlah paling ramai iaitu 25 orang diikuti Sarikei (21), Kota Samarahan (14), Betong (7), masing-masing empat di Miri, Bau, Simunjan dan Saratok, Bintulu (3), masing-masing dua di Padawan, Kapit, dan Matu Daro, sementara seorang di Sibu, Marudi dan Lubok Antu.
Jelasnya, ini telah menjadikan jumlah keseluruhan orang yang dikompaun di Sarawak sejak 18 Mac 2020 adalah seramai 264 orang.
Sementara itu, bagi jumlah tangkapan individu yang ingkar PKP pula, beliau memberitahu, untuk tempoh 24 jam dari 8.00 pagi Sabtu sehingga 8.00 pagi hari semalam, seramai 17 orang telah ditangkap.
Katanya, tangkapan itu dibuat di Miri dengan jumlah seramai sembilan orang, masing-masing dua di Kuching, Sibu, dan Padawan, sementara seorang di Dalat dan Tatau menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan di Sarawak adalah seramai 573 orang.
Bagaimanapun, ujarnya, Sarawak berada dalam keadaan yang terkawal dengan kadar pematuhan PKP sebanyak 97.1 peratus.