
SARATOK: Pembangunan infrastruktur sukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka terus diperkasakan menerusi pelaksanaan pelbagai projek bagi menggalakkan penyertaan belia dan masyarakat dalam aktiviti riadah serta mengamalkan gaya hidup sihat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, kemudahan sukan seperti gelanggang tinju dan badminton dibangunkan bagi menyediakan ruang yang lebih kondusif kepada penduduk untuk beriadah bersama keluarga serta memanfaatkan masa lapang.
Beliau berkata, semua kemudahan itu dibina menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebagai usaha kerajaan meningkatkan prasarana rekreasi di kawasan luar bandar.
Menurutnya, kerajaan turut meluluskan projek menaik taraf Dewan Padang Futsal Rumah Ikom Senyawan yang melibatkan pembinaan sengkuap baharu dan astaka dengan kos RM200,000 menerusi peruntukan RTP bagi tahun 2027.
Katanya, penyediaan kemudahan sukan yang lengkap mampu melahirkan lebih ramai belia yang aktif, di samping menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
“Penglibatan belia dalam aktiviti sukan bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, malah melahirkan generasi yang lebih cergas, berdaya tahan dan sihat, selain menghindarkan mereka daripada terjebak dalam gejala yang tidak sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Bola Sepak Sembilan Sebelah Wanita dan Tujuh Sebelah Lelaki Terbuka anjuran Biro Sukan Rumah Ikom Senyawan di Padang Komuniti Rumah Ikom Senyawan, dekat sini, semalam.
Pertandingan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai 25 pasukan bagi kategori lelaki dan sembilan pasukan bagi kategori wanita.
Mohamad Duri berkata, penyertaan pasukan dari pelbagai kawasan termasuk Lundu, Serian, Tuie, Sibu, Mangut, Saratok dan Krian membuktikan kejohanan itu berjaya menarik penyertaan komuniti sukan dari seluruh Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas komitmen dan usaha mereka dalam memastikan kejohanan tersebut berlangsung dengan lancar dan jayanya.
Dalam kategori wanita sembilan sebelah, Avengera Ramanoff muncul juara selepas menewaskan KCC FC pada perlawanan akhir, manakala Sevenline FT dan Sevenline FC berkongsi tempat ketiga.
Bagi kategori tujuh sebelah lelaki, Tajaumas FC dinobatkan sebagai juara, diikuti Tabau Legacy selaku naib juara, sementara Senyawan FC dan Emmanuel IA berkongsi tempat ketiga.
Oleh Adi Safarman



