Menerusi rencana bersiri ini, CONNIE CHIENG mengupas tentang Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), dar sejarah hingga peranannya untuk melonjakkan ekonomi Sarawak ke tahap lebih tinggi.
Di dalam perkembangan terkini, inisitiaf di utara untuk menghubungkan laluan Lebih Raya Pan Borneo yang belum bersambung dari Miri ke Limbang dan Lawas dan seterusnya ke negeri jiran Sabah, telah dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.
Projek mega Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) sejauh 88 kilometer yang dicadangkan, akan melibatkan pembinaan laluan berkembar empat lorong dengan standard R5 Jabatan Kerja Raya (JKR), serta dilengkapi dengan sambungan jambatan, ‘interchange’ dan jejantas.
Lebuh raya ini akan melalui Brunei Darussalam melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tedungan dan Pandaruan di Limbang serta Mengkalap dan CIQS Merapok di Lawas.
NCH ini dijangka dapat meningkatkan lagi hubungan dua hala di antara Sarawak dan Brunei Darussalam, baik dari segi perdagangan, pelaburan mahupun mobiliti penduduk.
Projek mega NCH ini yang dijangka bermula tahun depan dan akan mengambil masa 48 bulan untuk disiapkan.Pelaksanaan memang tepat pada masanya memandangkan pembinaan Lebih Raya Pan Borneo dari Telok Melano ke Pujut Link Road di Miri sekarang ini sedang berlangsung dan dijangka siap pada tahun 2023.
Jajaran jalan raya yang dicadangkan untuk Lebuh Raya Pesisir Utara akan mengambil kira keperluan pembangunan masa hadapan seperti Lapangan Terbang Lawas yang baharu, Pelabuhan Air Dalam Lawas yang baharu dan Kompleks Petroleum Kimia Bersepadu yang masih di dalam cadangan , selain jalan-jalan raya di sepanjang jajaran yang penting untuk pembangunan di wilayah berkenaan.
Apabila NCH siap nanti, ia akan menyediakan hubungan lengkap untuk warga Sarawak dari Telok Melano di selatan hingga ke wilayah utara Sarawak, seterusnya menghubungkan Sarawak dengan Sabah.
Makmal Penilaian Nilai (VA) untuk projek ini telah diadakan pada bulan September tahun lepas, di mana para konsultan, para wakil dan para pegawai dari pelbagai agensi kerajaan serta lain-lain pihak pemegang paruh diberi input tentang jajaran lebuh raya, kepentingan jalan raya dan projek-projek lain yang diperlukan.
Jajaran yang disemak semula ini telah diluluskan oleh Unit Perancang Negeri. Seterusnya beberapa makmal penilaian kejuruteraan juga diadakan dengan semua konsultan dan agensi-agensi yang berkenaan membincangkan tentang cara untuk mengoptimumkan reka bentuk dan kos untuk projek berkenaan.
Jalan Miri-Marudi, Marudi-Mulu (Kuala Melinau) dan Long Panai-Long Lama
Projek besar lain adalah cadangan pembinaan jalan raya menghubungkan Miri-Marudi, Marudi-Mulu (Kuala Melinau) dan Long Panai-Long Lama di Miri.
Projek ini akan meningkatkan hubungan melalui naik taraf jalan Miri ke Marudi dan pembinaan jalan baharu dari Marudi hingga ke Long Panai dan bercabang ke Long Lama. Projek ini akan menyediakan hubungan jalan raya yang selama ini ditunggu-tunggu untuk menghubungkan Taman Negara Gunung Mulu. Jangkaan panjang rangkaian laluan ini adalah sejauh 137 kilometer.
Lapangan Terbang Lawas dan Kompleks Pelabuhan Air Dalam Lawas
Projek-projek tambahan lain dalam perkiraan termasuklah cadangan pembinaan Lapangan Terbang Lawas yang baharu. Kemudahan Short Take Off and Landing (STOL) Lawas yang sedia ada dikendalikan oleh Malaysia Airports Sdn Bhd. STOLport Lawas ini mulai beroperasi sejak tahun 1961 dan telah dinaik taraf dalam tahun 1996.
Lapangan Terbang Lawas yang baharu diperlukan memandangkan banjir kerap berlaku di STOLport, selain untuk merancakkan ekonomi di wilayah utara. Projek Lapangan Terbang Lawas yang baharu akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dengan kajian fisibiliti mencadangkan operasi lapangan terbang untuk ATR 72 (Code 3C).
RECODA juga telah menyiapkan kajian teknikal untuk Lapangan Terbang Lawas yang baharu dengan landasan terbang sepanjang 1,500 meter, dan laporan akhir telah diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan pada 23 Jun tahun lepas.
Turut menjalani kajian fisibiliti adalah Kompleks Pelabuhan Air Dalam Lawas yang akan menyokong pembangunan industri petrokimia di wilayah berkenaan, selain bertindak sebagai pelabuhan strategik di wilayah utara. Sementara itu, kajian ekonomi, teknikal dan alam sekitar sekarang ini sedang dijalankan untuk menentukan fisibiliti teknikal projek berkenaan.
Akses jalan raya Baleh dan IHAS
Projek-projek yang hampir siap termasuklah akses ke empangan Baleh di bahagian Kapit yang dijangka siap pada suku pertama tahun depan selepas pembinaannya bermula dalam tahun 2016. Rangkaian jalan raya sejauh 73 kilometer dari Nanga Mujong ke Putai di Kapit ini hampir hampir 90% siap.
Empangan 1,285 MW di Sungai Dapu di wilayah tengah Sarawak dijadualkan siap pada tahun 2026. Dengan akses jalan raya dibina hingga ke empangan, kawasan sekeliling akan mula terbuka, di mana semua kampung terpencil akan dihubungkan dengan bandar Kapit melalui jalan raya.
Kerajaan Sarawak melalui SEB bertanggungjawab melaksanakan pembinaan empangan, manakala jalan raya dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui RECODA dan JKR Sarawak sebagai agensi pelaksana projek.
Sebuah Stesen Pertanian Tanah Tinggi Bersepadu (IHAS) telah disiapkan di Baram, di wilayah yang ditadbir oleh Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) di bawah RECODA pada Februari 2020 selepas dua tahun pembinaan. IHAS akan bertindak sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan pertanian yang memfokus kepada pengeluaran hasil pertanian bersuhu sederhana dan bernilai tinggi.
Dengan kira-kira 625 hektar tanah dikhaskan oleh Kerajaan Sarawak, objektifnya adalah untuk menjadikan IHAS standing Kundasang di Sabah atau Cameron Highland di Pahang. IHAS juga akan mewujudkan pengalaman pertanian tanah tinggi seperti di Chiang Mai, Thailand.