
KUCHING: Program Info-Fun dengan UKAS@Kuching melabuhkan tirainya semalam dalam majlis penutupan di Auditorium TEGAS Digital Village disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Abdullah Saidol.
Program anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) ini memfokuskan pemerkasaan belia, khususnya mahasiswa dari sembilan universiti tempatan dengan tujuan meningkatkan kefahaman terhadap dasar dan pembangunan kerajaan negeri.
Dalam ucapannya, Abdullah Saidol menegaskan pendidikan harus merangkumi pembinaan sahsiah, patriotisme dan kesedaran sivik bukan sekadar akademik.
Beliau turut menyertai sesi sembang santai bersama peserta yang mengambil peluang membincangkan isu berkaitan kebajikan mahasiswa, peluang pekerjaan dan sokongan kerajaan.
Program bersifat interaktif dan mesra belia ini turut membuka ruang kepada peserta untuk menyuarakan pandangan dan cadangan secara langsung kepada pemimpin.
Para peserta turut menyambut baik pendekatan UKAS yang dilihat inklusif dan relevan dengan keperluan golongan muda.
Program ini dijangka diperluas ke daerah lain sebagai sebahagian daripada usaha mendekati belia di seluruh Sarawak.
Oleh Norman B.