
KUALA LUMPUR: Inflasi keseluruhan Malaysia kekal tidak berubah iaitu 1.4 peratus pada April 2025 manakala inflasi teras meningkat sedikit kepada dua peratus daripada 1.9 peratus pada Mac 2025, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam sorotan bulanan untuk April 2025, bank pusat itu berkata peningkatan inflasi teras disumbangkan oleh komponen teras termasuk perkhidmatan komunikasi mudah alih, barang kemas dan jam tangan serta pengangkutan penumpang udara.
“Peningkatan ini diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi barangan bukan teras seperti bahan api dan pelincir serta sayur-sayuran segar berikutan persekitaran kos yang semakin reda,” katanya.
BNM turut melaporkan mengenai eksport kasar yang meningkat sebanyak 16.4 peratus daripada 6.8 peratus pada bulan lepas terutamanya disebabkan oleh pengembangan eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh serta disokong lanjut oleh eksport bukan E&E dan komoditi yang kembali pulih.
“Import Malaysia berkembang sebanyak 20 peratus (Mac 2025: -2.9 peratus) berikutan lonjakan pertumbuhan dalam import modal. Pada masa hadapan, ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dijangka menjejaskan eksport dan meningkatkan lagi risiko pengurangan eksport.
“Bagaimanapun, risiko ini diimbangi sebahagiannya oleh permintaan global yang berterusan untuk E&E serta peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan global,” kata BNM.
Bank pusat itu memberitahu, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.5 peratus (Mac 2025: 5.5 peratus), susulan pertumbuhan berterusan dalam pinjaman terkumpul (5.5 peratus; Mac 2025: 5.6 peratus) dan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam bon korporat terkumpul (5.5 peratus; Mac 2025: 5.3 peratus).
“Pertumbuhan pinjaman perniagaan menurun sedikit kepada 4.6 peratus (Mac 2025: 4.8 peratus) berikutan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan terutamanya dalam sektor perkhidmatan.
“Namun begitu, permintaan untuk pembiayaan perniagaan kekal menggalakkan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan bukan PKS. Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada enam peratus dengan pertumbuhan berterusan merentas kebanyakan tujuan pinjaman,” katanya.
BNM menekankan mengenai keadaan kewangan global mengalami ketidaktentuan yang ketara susulan pengumuman tarif oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS).
“Sentimen pelabur global juga berubah menjadi lebih berhati-hati berikutan kebimbangan yang semakin meningkat tentang ekonomi AS yang lebih perlahan serta kesan negatifnya terhadap ekonomi global. Dalam keadaan perkembangan global ini, ringgit menambah nilai sebanyak 2.7 peratus berbanding dolar AS.
“FBM KLCI meningkat sebanyak 1.8 peratus (purata serantau : 1.1 peratus) manakala kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia 10 tahun menurun sebanyak 11.0 mata asas (purata serantau : -14.7 mata asas), sejajar dengan pergerakan kadar hasil bon global.
“Pergerakan ini dipacu terutamanya oleh aliran masuk asing bersih ke dalam pasaran bon dalam keadaan penghindaran risiko global yang semakin ketara,” katanya.
Dalam pada itu, sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 155.8 peratus (Mac 2025: 151.6 peratus).
“Agregat nisbah pinjaman kepada dana menurun sedikit kepada 83.3 peratus (Mac 2025: 83.8 peratus) apabila peningkatan dalam jumlah dana mengatasi pertumbuhan pinjaman,” kata BNM.
Nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih masing-masing kekal pada 1.4 peratus dan 0.9 peratus.
“Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 131.0 peratus daripada pinjaman terjejas kasar berbanding 131.3 peratus pada bulan lepas,” katanya.– Bernama