
SIBU: Skuad Antidadah Daerah Sibu dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sibu mengagihkan sebanyak 400 bekas bubur lambuk kepada orang ramai di Taman Harmoni hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa SKUAD Antidadah Sibu (SKUAD), Raden Khairulzaman Raden Bustari berkata, program ini merupakan acara tahunan yang diadakan setiap kali Ramadan dan telah memasuki tahun ketiga penganjurannya.
“Sebanyak 200 bekas telah kami sediakan. Kami bergotong-royong seawal 8.00 pagi untuk menyediakan bubur lambuk yang telah kita agihkan kepada orang ramai tadi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jalan sambal Sampaikan Mesej dan Edaran Bubur Lambuk.

Menurutnya, program ini bertemakan ‘Infak Bubur, Edar Kesedaran’, iaitu pengagihan bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai sambil menyampaikan mesej kesedaran mengenai bahaya dadah.
Beliau berkata, pendekatan turun padang secara langsung memberi ruang kepada pihaknya berinteraksi dengan komuniti, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama dalam usaha membanteras gejala dadah di peringkat akar umbi.
“Setiap penerima turut diberikan risalah serta maklumat talian khidmat nasihat untuk dihubungi sekiranya memerlukan bantuan atau ingin mendapatkan khidmat nasihat berkaitan isu penyalahgunaan dadah,” katanya.
Turut hadir pada program tersebut ialah Pegawai Tadbir Pejabat Residen Sibu Macgyver Boi selaku mewakili Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.
Oleh Tarani Lanting