KUCHING: Industri perkayuan Sarawak diunjurkan mencapai RM8 bilion pendapatan eksport tahunan menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata di luar industri perkayuan, landskap ekonomi Sarawak sedang berubah dengan pesat, terutamanya dalam bidang seperti kemampanan, ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
”Negeri ini telah melaksanakan beberapa inisiatif berani untuk mengukuhkan ekosistem ekonominya dan perkembangan ini menawarkan peluang besar untuk kumpulan syarikat PUSAKA (Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak).
”Kita melihat langkah berani kerajaan Sarawak dalam kejayaan mengambil alih Pelabuhan Bintulu telah meletakkan Sarawak sebagai hab terkemuka bagi gas asli cecair (LNG).
”Selain itu, kita juga telah melihat rancangan Sarawak untuk menubuhkan Lembaga Pelabuhan Pusat yang akan mengurus, mengawal selia, mengawal dan mentadbir semua pelabuhan di negeri ini,” katanya yang juga Menteri Sumber Asli dan Perancangan Bandar Kedua.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Perancangan Bandar, Datuk Len Talif Salleh ketika majlis perasmian Seminar Mengemudi Akta Syarikat 2016 dan Menilai Tugas, Tanggungjawab, Hak dan Kuasa Pengarah Syarikat di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata struktur berpusat ini akan memastikan kecekapan, tadbir urus dan penyepaduan operasi pelabuhan yang lebih baik dan membolehkan Sarawak bersaing di peringkat global dalam perdagangan dan logistik.
Pada masa sama, beliau turut menggesa pengarah anak syarikat PUSAKA untuk memastikan syarikat mereka sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri mewujudkan ekonomi yang mampan dan pelbagai.
”Hal ini kerana kepelbagaian, inovasi dan kemampanan bukan lagi pilihan.
”Aspek-aspek ini penting untuk kekal berdaya saing dalam persekitaran yang cepat berubah ini.
”Syarikat mesti meneroka pasaran baharu secara proaktif, menerima pakai teknologi hijau dan mempertimbangkan amalan mampan untuk kekal relevan dalam jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata PUSAKA menerima dividen terkumpul RM212 juta dari 40 anak syarikat dan tujuh syarikat bersekutunya setakat September tahun ini.
Katanya, dividen itu adalah daripada kayu, buluh, minyak dan gas, pertanian, ladang hutan, biojisim, perabot, pelabuhan, lapangan terbang, penerbangan, insurans dan aktiviti hotel.
”Entiti pelaburan ini memainkan peranan penting untuk meningkatkan kekuatan kewangan kumpulan PUSAKA dan juga dalam misi yang lebih luas untuk memajukan pembangunan ekonomi Sarawak,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA