KUALA LUMPUR: Industri pembuatan sedang membuat rayuan kepada Kementerian Sumber Manusia bagi memperuntukkan tempoh 12 bulan lagi untuk syarikat melaksanakan pelarasan berdasarkan keperluan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, denda RM50,000 bagi setiap kesalahan yang wujud dalam akta itu dalam keadaan ekonomi semasa yang lemah adalah terlalu drastik dan akan menjejaskan inisiatif pemulihan perniagaan oleh kebanyakan industri.
“FMM mencadangkan tambahan 12 bulan lagi, yang boleh digunakan untuk terus mendidik industri serta pengeluaran notis ketidakpatuhan sebagai penambahbaikan ke atas industri agar selaras dengan peruntukan perundangan.
“Perlu juga ada keperluan untuk komitmen yang lebih kukuh daripada industri dalam pelan tindakan ke arah pematuhan dalam tempoh masa yang ditetapkan, yang sesuai dengan bidang berkaitan dengan ketidakpatuhan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pada 26 Ogos lepas, Menteri Datuk Seri M. Saravanan berkata perundangan yang berkaitan akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia bagi memastikan pematuhan majikan.
Akta Standard Minimum (Pindaan) Perumahan dan Kemudahan Pekerja 2019 (Akta 446) yang merangkumi semua sektor pekerjaan, yang menyediakan perumahan termasuk penginapan untuk pekerja mula berkuatkuasa pada 1 September tahun ini.
Bidang kuasa Akta 446 sebelum ini hanya meliputi aspek perumahan dan penginapan yang melibatkan peladangan seluas lebih daripada 20 ekar dan sektor perlombongan sahaja.
FMM mengulangi sokongan penuh untuk penambahbaikan kepada undang-undang, yang mana dalam jangka panjang adalah bermanfaat dan memberi kelebihan pada industri dan negara.
“Pindaan kepada Akta 446 susulan pandemik Covid-19 adalah baik untuk industri dalam meningkatkan persekitaran hidup yang kondusif bagi semua pekerja termasuk pekerja asing dan memastikan tenaga kerja yang sihat serta produktif, yang merupakan komponen kritikal untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang mematuhi syarat Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
“Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara perdagangan dan sebahagian daripada rantaian bekalan global, pindaan kepada akta ini juga bertujuan untuk memperkemaskan standard domestik agar seiring dengan piawaian antarabangsa,” katanya lagi.
Berdasarkan taklimat yang dijalankan oleh Jabatan Buruh di seluruh negara, majikan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapati bahawa keperluan ini agak mencabar untuk dipenuhi sebelum 1 September 2020 kerana banyak pelarasan perlu dibuat.
Pelarasan yang perlu diambil ini pula membabitkan kos dan masa kepada industri.
“Berdasarkan keadaan ekonomi semasa yang lemah, kebanyakan industri masih bergelut untuk mengekalkan perniagaan serta kakitangan mereka dan pada masa yang sama, perlu membina semula perniagaan mereka yang telah terjejas teruk,” tambah Soh lagi. – Bernama