
KUCHING: Industri pelancongan Sarawak terus menunjukkan pemulihan kukuh apabila jumlah ketibaan pelawat pada 2024 mencecah 4.83 juta, mengatasi rekod sebelum pandemik dengan peningkatan 22.95 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menerusi momentum ini, Sarawak kini menyasarkan lima juta pelawat pada 2025, yang dijangka menjana RM12.73 bilion dalam hasil pelancongan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian ini selaras dengan trend global yang direkodkan dalam World Tourism Barometer oleh UN Tourism, yang menunjukkan pemulihan industri pelancongan antarabangsa pada kadar 99 peratus berbanding sebelum pandemik.
“Jumlah hasil pelancongan Sarawak melonjak 101.41 peratus kepada RM12.45 bilion pada 2024 berbanding RM9.99 bilion pada 2023, menyumbang 8.85 peratus kepada KDNK negeri.
“Bagi Januari 2025 sahaja, kita merekodkan 400,531 pelawat, meningkat 13.47 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya ketika berucap semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Negeri Sarawak (STSC) 2025, di Raia Hotel Kuching, hari ini.
Sektor acara perniagaan juga mencatat pencapaian memberangsangkan dengan Sarawak berjaya menarik 111 acara perniagaan yang memberikan impak ekonomi berjumlah RM313.6 juta.
Sepanjang tahun lalu, sebanyak 124 acara telah diadakan di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, menjana pendapatan RM375.2 juta termasuk RM204 juta daripada perbelanjaan langsung 45,758 delegasi.
“Kesemua acara perniagaan ini sejajar dengan hala tuju Pelan Strategik Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang bertujuan menjadikan negeri ini sebagai destinasi utama untuk persidangan antarabangsa dan pelancongan perniagaan,” ujarnya.
Sementara itu, dengan Visit Malaysia 2026 (VM2026) semakin hampir, Sarawak kini giat memperkukuh kedudukannya dalam sektor pelancongan bagi memanfaatkan limpahan pengunjung yang dijangka meningkat.
Kempen Gateway to Borneo yang dilancarkan baru-baru ini bertujuan memperluaskan capaian pasaran menerusi kerjasama dengan platform pelancongan utama seperti Tripadvisor, Klook dan Traveloka.
“Usaha pemasaran awal, pelaburan dalam infrastruktur dan kerjasama strategik akan terus memperkukuh industri pelancongan kita.
“Kami menjangkakan hasil pelancongan antarabangsa mencecah RM12.73 bilion pada 2025 dan meningkat kepada RM13.12 bilion pada 2026,” tambahnya.
Walaupun unjuran sektor pelancongan terus menunjukkan perkembangan positif, Abdul Karim mengingatkan bahawa cabaran seperti ketidaktentuan ekonomi, peningkatan kos pengangkutan serta ketegangan geopolitik masih boleh memberi kesan kepada industri.
Beliau optimis Sarawak berada di landasan tepat untuk mengekalkan momentum pertumbuhan sektor pelancongan negeri ini.
Oleh Amanda L.