KUCHING: Industri pelancongan dan budaya mengalami kerugian sebanyak RM45 bilion dari Januari hingga Jun akibat pandemik Covid-19.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri menyifatkan industri pelancongan berada dalam keadaan parah akibat penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).
Pada masa yang sama, kata Nancy jumlah pekerjaan telah menurun sebanyak 1.0 peratus kepada 14.93 juta orang dalam tempoh yang sama tahun lalu menurut Jabatan Perangkaan Malaysia atau DOSM, untuk April 2020 lepas.
“Antara tenaga kerja yang paling terjejas adalah di sektor perkhidmatan seperti penginapan, makanan dan minuman, seni, hiburan dan rekreasi,” jelasnya MOTAC prihatin terhadap pengamal industri untuk menangani kesannya sejak semua aktiviti pelancongan, seni dan budaya terhenti.
Berikutan perkara tersebut, Nancy mengumumkan Malaysia bakal membuka sempadan kepada kepada negara jiran berteraskan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Pembukaan sempadan dan kebenaran rakyat ke luar hanya melibatkan dua negara iaitu Singapura dan Brunei.
“Namun pembukaannya (sempadan) juga memerlukan kelulusan dari pihak negara lain dan kriteria utama adalah negara berkenaan selamat untuk melancong oleh rakyat kita,” katanya.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus bersama Penggiat Industri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam.
Nancy akui kementeriannya mengenal pasti pembukaan sempadan adalah cara ransangan ekonomi negara paling pantas namun Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah masih mengadakan rundingan dengan beberapa wakil negara lain untuk mendapatkan padangan dan keperluan masing-masing.
Sementara itu, Nancy berkata, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) menyediakan geran untuk kegiatan promosi dan pemasaran pelancongan domestik bagi membantu pemain industri pelancongan tempatan.
Malahan, kata Nancy MOTAC turut memperkenalkan dana khas untuk pelancongan bagi mendukung perkembangan pengusaha pelancongan kecil dan sederhana yang diuruskan SME Bank dengan menawarkan pinjaman dari RM50,000 hingga RM10 juta mengikut potensi projek.
Selain itu, ujarnya pengecualian lesen bayaran untuk pengendali pelancongan, agensi pelancongan dan pemandu pelancong, diskaun 40 peratus untuk kompaun yang dikeluarkan oleh kementerian sebelum 31 Disember 2020.
Pada masa yang sama kata, NancyMOTAC juga akan memperhebatkan aktiviti perhubungan awam dan promosi media sosial termasuk kolaborasi dalam talian dengan pihak berkepentingan.
“MOTAC juga akan memperkukuhkan inisiatif pelancongan domestik di bawah kempen Cuti-Cuti Malaysia melalui agensi pelancongan,” tegasnya.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Oleh Diyana Samsuddin