
KUCHING: Industri muzik, konsert dan hiburan kini dilihat sebagai antara pemacu utama dalam merancakkan pembangunan industri pelancongan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, kehadiran pengunjung dari luar negara seperti Indonesia, Singapura, Brunei, serta dari Semenanjung Malaysia dan Sabah ke pelbagai konsert dan acara hiburan yang dianjurkan di negeri ini telah menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan sektor pelancongan, khususnya di bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya.
“Para pengunjung ini memerlukan penginapan, makanan, pengangkutan dan pelbagai perkhidmatan lain, keperluan ini secara tidak langsung menyokong serta memperkukuhkan keseluruhan ekosistem industri pelancongan,” jelas beliau pada sidang media Konsert Fenomena Samurai ‘Search VS XPDC di sini, hari ini.
Katanya, pelbagai inisiatif dan program berkaitan pelancongan terus dilaksanakan sepanjang tahun bagi menarik kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa.
“Dalam setahun terdapat lebih 200 produk pelancongan dibantu oleh kementerian. Jika tahun lepas terdapat lebih 290 produk pelancongan, angka tersebut dijangka meningkat melebihi 300 tahun ini. Ia merangkumi persembahan muzik, festival makanan dan kebudayaan, pelancongan sukan serta pelbagai lagi.
“Sarawak juga semakin dikenali sebagai destinasi utama bagi penganjuran acara maraton. Sebagai contoh, sebuah acara maraton yang berlangsung dua minggu lalu berjaya menarik lebih 14,000 peserta, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi tempatan melalui kehadiran peserta dan pelancong.
“Pihak kami percaya, dari segi promosi dan usaha mengangkat pelancongan, sukar bagi mana-mana pihak lain untuk menandingi apa yang telah kita lakukan di Sarawak,” katanya.
Karim menambah, kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan kepada penganjur acara dalam bentuk bantuan, bagi meringankan beban dan memastikan kelestarian program.
Sementara itu, Konsert Fenomena Samurai ‘Search VS XPDC’ akan berlangsung di Stadium Sarawak pada 13 Disember
Turut hadir penganjur Konsert Fenomena Samurai ‘Search VS XPDC’, dari Seri Simfoni dan Bintang Batu Event, kumpulan Search dan XPDC serta rakan strategik iaitu Kementerian Pelancongan Negeri Sarawak, Rampage Studio, Kamekempunproduction, Persatuan Anak Seni Sarawak dan uberticket.asia
Oleh Yanti Sham & Norman B