KUALA LUMPUR: Industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) berperanan penting dalam menarik tumpuan pelabur, sekali gus membawa pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.
Bagaimanapun, sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, industri ini terpaksa menghentikan sementara aktivitinya mulai awal tahun ini dan mengakibatkan pendapatan pelbagai pihak terutama penganjur acara serta penggiat perhotelan dan pelancongan terjejas.
Ahli Majlis Tertinggi Malaysia Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran (MACEOS), Jaggarao Simancha berkata meskipun kerajaan telah memberi kelonggaran apabila membenarkan penganjuran persidangan dengan had kehadiran sebanyak 250 orang namun pihaknya berharap keadaan akan bertambah baik selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Ogos ini.
“Industri ini merupakan industri pertama yang ditutup akibat Covid-19, dan serta-merta pelbagai pameran dan persidangan yang telah dirancang sejak tahun lepas terpaksa dibatalkan sehingga satu tarikh akan datang.
“Ini meletakkan pemain industri dalam keadaan tenat selepas terpaksa menanggung kerugian,” katanya semasa menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara yang disiarkan saluran Bernama TV malam tadi.
Program yang dihoskan Sherkawi Jirim kali ini membincangkan topik ‘Industri Pameran Pemangkin Ekonomi Negara’.
Jaggarao berkata sehingga kini pihak penganjur acara MICE masih dalam situasi tunggu dan lihat sebelum melakukan perancangan selepas PKPP ditamatkan.
“Kami berharap pihak kerajaan dapat menimbangkan kelonggaran untuk memberikan laluan hijau (green lane) kepada negara yang telah berjaya mengawal penularan Covid-19 seperti Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Vietnam dan Singapura untuk datang ke Malaysia.
“Industri ini (penganjuran MICE) lebih teratur berbanding dengan pasar malam contohnya, kerana setiap pusat konvensyen mempunyai sistem yang lengkap dan mampu mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata selain menarik tumpuan pelabur asing ke dalam negara, industri MICE juga memainkan peranan penting untuk menarik ketibaan pelancong ke dalam negara sekali gus merancakkan pelbagai sektor khususnya pelancongan.
Sebagai contoh, Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang menarik perhatian peserta industri serta pelancong dari serata dunia telah melonjakkan sektor perlancongan di pulau bebas cukai itu selain melakar nama Langkawi di persada antarabangsa, katanya.
LIMA bagi edisi 2019 juga telah menyaksikan lebih RM4 bilion janji niaga dan kontrak ditandatangani.
“Maka, penting untuk penganjuran pameran serta persidangan berjalan seperti biasa selepas berakhirnya Covid-19 ini untuk merancakkan semula ekonomi negara,” katanya. – Bernama