
KUCHING: Industri media perlu terus mempertahankan prinsip ketepatan, integriti dan kewartawanan beretika dalam mendepani cabaran era digital yang dicorakkan oleh perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), penyebaran berita palsu serta ancaman siber yang semakin kompleks.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkembangan teknologi digital termasuk AI yang mampu menghasilkan imej, audio dan video yang sukar dibezakan daripada realiti menuntut kewartawanan yang lebih bertanggungjawab serta berteraskan etika bagi memastikan kebenaran terus dipertahankan.
“Dalam dunia yang bergerak pantas, maklumat yang belum disahkan boleh menjadi tular dalam sekelip mata.
“Jika tidak ditangani dengan cekap dan bertanggungjawab, berita palsu dan maklumat tidak tepat berpotensi mencetuskan kekeliruan, menjejaskan kepercayaan rakyat, malah meretakkan keharmonian sosial yang telah kita bina bersama,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 di sini, malam ini.
Sementara itu, beliau turut menggesa organisasi media melabur dalam pembangunan modal insan dengan melengkapkan wartawan dengan kemahiran baharu termasuk analitik data, keselamatan digital, penggunaan AI secara beretika, semakan fakta dan kewartawanan data bagi memastikan industri media negara terus relevan serta berdaya saing.
“Wartawan kita perlu ada pengetahuan khusus yang disampaikan sebab kalau mereka tidak dapat menguasai topik atau sesuatu perkara, maka menjadi cabaran untuk mereka menyampaikan berita yang lebih dan lebih mudah, terutama dalam dunia digital sekarang ini.
“Mereka sepatutnya mampu untuk menjadi pempengaruh yang boleh memudahkan penyampaian berita-berita ataupun perkara yang penting kepada rakyat kita (mengenai dasar kerajaan) untuk pembangunan negara dan negeri,” katanya.

SMeC 2026 menghimpunkan pengamal media, pengamal perhubungan awam, pembuat dasar dan pakar industri bagi membincangkan cabaran serta masa depan media dalam era digital.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Apresiasi Khas Premier Sarawak 2026 kepada 13 pengamal media, meliputi pelbagai kategori termasuk editor, wartawan, penyampai radio, jurugambar dan pempengaruh bagi menghargai sumbangan besar mereka dalam menyampaikan maklumat yang tepat, beretika dan membina kepada masyarakat.
Antara penerima anugerah ialah jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Sarawak Ahmad Rushdan Abdul Manan, wartawan The Borneo Post Churchill Edward Drem, penyampai radio RTM Zaidi Bujang serta pempengaruh Ahmad Faizal Osman atau dikenali sebagai Cikgu Emmet.
Ahmad Rushdan, 56, yang telah berkhidmat di Bernama sejak 1996, berkata perkembangan teknologi AI memberikan cabaran kepada pengamal media, khususnya jurufoto untuk memastikan setiap imej yang dirakam dan disunting mengekalkan ciri-ciri keaslian serta kredibiliti.
Beliau berkata kemudahan teknologi masa kini membolehkan gambar diubah suai dengan lebih mudah, justeru jurufoto profesional perlu berpegang teguh pada etika kewartawanan bagi memastikan visual yang disiarkan menggambarkan keadaan sebenar sesuatu peristiwa.
“AI banyak membantu dari segi kecekapan kerja, namun sebagai jurufoto media, tanggungjawab utama kami ialah memastikan gambar yang diterbitkan kekal autentik dan tidak mengelirukan masyarakat,” katanya. – Bernama




