
BINTULU: Majikan serta pemain industri di daerah ini digesa memperkukuh dasar tempat kerja yang lebih inklusif dan mesra pekerja yang hidup dengan HIV bagi menyokong usaha mempertingkatkan respons kesihatan awam.
Pengarah Hospital Bintulu, Dr. Suzalinna Sulaiman berkata, tema Hari AIDS Sedunia 2025, ‘Mengatasi Gangguan, Mengubah Tindak Balas terhadap AIDS’ menekankan kepentingan pendekatan menyeluruh merentasi semua sektor bagi memastikan usaha pencegahan dan pengurusan HIV dilaksanakan dengan berkesan.
“Kerjasama yang konsisten antara fasiliti kesihatan, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan pihak industri amat penting untuk mewujudkan tempat kerja yang memahami isu HIV serta bebas stigma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Bintulu yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurutnya, program pada tahun ini memberi penekanan kepada peningkatan literasi masyarakat berkaitan langkah pencegahan HIV, kepentingan pengesanan awal, ketersediaan rawatan serta usaha membanteras stigma khususnya dalam persekitaran kerja.
Selain itu, Dr. Suzalinna turut menggesa majikan agar melaksanakan dasar yang menghormati kerahsiaan, menjamin keadilan serta memastikan pekerja mempunyai akses kepada maklumat dan perkhidmatan kesihatan yang relevan.
“Melalui forum dan pameran yang dijalankan, pelbagai pihak berpeluang mengukuhkan hubungan strategik serta meneroka bentuk kerjasama baharu dalam promosi kesihatan dan perlindungan pekerja,” katanya.
Beliau menegaskan, kejayaan membina respons HIV yang berdaya tahan memerlukan komitmen berterusan daripada institusi kerajaan, hospital, pertubuhan masyarakat dan rakan industri di Bintulu dan kawasan sekitar.
Turut hadir, Pengarah Kanan Seksyen HIV/STI/Hepatitis C, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Ruziana Miss; Pengurus Kanan Group Stakeholder Relations Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Maslihah Tioh; Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr. Linda Jok, Pegawai Pergigian Bahagian Bintulu, Dr. Goh Ee Shung dan Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Bintulu, Ngo Pen Hee.
Oleh Carolyne Utih