
LIMBANG: Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri Sarawak khususnya daerah Limbang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan susulan pertambahan jumlah kemasukkan pengunjung Brunei ke daerah itu.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, rakyat di Limbang perlu merebut peluang yang ada kerana IKS memberi pulangan ekonomi yang banyak jika diusahakan secara konsisten.
“Kita sebagai penduduk Limbang berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana tidak lupa untuk membangunkan Limbang, dan kita kena bersedia untuk menggunakan peluang yang ada, sekarang ni pun banyak peluang yang ada dari segi perniagaan IKS, sektor perkhidmatan, kraftangan, inap desa, restoran dan sebagainya,”katanya pada Majlis Penyerahan Geran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Masjid dan Surau DUN Bukit Kota di Dewan Kampung Bunga Raya, Limbang hari ini.

Pada masa yang sama peningkatan jumlah peniaga dan produk tempatan yang ditawarkan menyumbang kepada perkembangan sektor IKS di Limbang, menjadikannya sebagai destinasi pilihan utama pengunjung dari dalam dan luar negara, termasuk Brunei.
Tegas beliau kerajaan Sarawak terus komited membangunkan dan memperkasakan IKS dengan menyediakan pelbagai kemudahan serta prasarana, selain menyokong usaha bersepadu daripada rakyat dan pihak berkepentingan untuk memajukan industri IKS di Sarawak.
Oleh Adeng Edrus