
KUCHING: Penggiat industri hartanah dan pembinaan di Sarawak menyuarakan kebimbangan terhadap impak pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas serta sistem e-invois wajib, yang disifatkan sebagai tekanan berganda kepada sektor yang sedia berdepan margin keuntungan yang ketat.
Menurut Penasihat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Dato Sim Kiang Chiok, peningkatan kos telah dirasai sejak pengenalan SST yang diperluaskan.
Hal ini khususnya dalam harga bahan binaan dan caj perkhidmatan profesional seperti arkitek, jurutera, dan perunding lain yang turut tertakluk kepada cukai tersebut.
“Perkhidmatan pembinaan yang disediakan oleh subkontraktor turut terjejas, dan ini secara langsung menambah kos keseluruhan projek.
“Kini kami juga perlu mengambil kira keperluan caruman tambahan KWSP sebanyak 2 peratus + 2 peratus untuk pekerja asing, jika ada, yang sekali lagi meningkatkan perbelanjaan operasi,” jelasnya.
Beliau berkata, peningkatan kos ini memberi tekanan kepada proses penyediaan bajet, sekali gus memaksa pemaju untuk menaikkan harga tender bagi mengekalkan keuntungan.
Namun begitu, pendekatan ini perlu dilaksanakan secara berhati-hati agar tidak menjejaskan daya saing mereka berbanding kontraktor kecil yang dikecualikan daripada SST jika mempunyai perolehan tahunan di bawah RM1.5 juta.
Dalam masa yang sama, pelaksanaan sistem e-invois wajib dilihat menambahkan beban kerja pentadbiran dan kewangan syarikat.
Pasukan akaun dan pentadbiran kini perlu memastikan setiap invois mematuhi keperluan sistem baharu tersebut, termasuk kemas kini sistem perakaunan, latihan kakitangan, serta integrasi rekod kewangan yang lancar.
“Beban pematuhan ini amat dirasai kerana syarikat masih perlu menyerahkan penyata tahunan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk pengiraan cukai walaupun dengan sistem e-invois.
“Walaupun pengecualian diberikan kepada syarikat mikro dengan perolehan di bawah RM500,000, firma sederhana dan besar seperti kami terpaksa menyerap kos tambahan yang berkaitan dengan naik taraf sistem dan perubahan prosedur,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, gabungan SST yang diperluas dengan e-invois wajib kini menyerupai kerumitan sistem GST sebelum ini, namun dengan prosedur yang lebih membebankan.
Tidak seperti GST, SST tidak menyediakan kredit cukai sepanjang rantaian bekalan, sekali gus berpotensi menyebabkan cukai berganda pada pelbagai peringkat dan peningkatan kos akhir kepada pengguna.
“Ketiadaan ketelusan dalam penetapan harga ini menyebabkan pembeli tidak tahu di mana cukai dikenakan, mewujudkan kekeliruan dan menjejaskan keberkesanan sistem,” katanya.
Walaupun beliau mengakui e-invois dapat meningkatkan kecekapan pematuhan dan rekod cukai, beliau menegaskan bahawa langkah ini akan menambah beban kewangan dan pentadbiran kepada pemaju serta kontraktor dalam jangka panjang.
“Secara keseluruhan, kami menjangkakan kos pembinaan akan meningkat, yang akhirnya menyumbang kepada kenaikan harga hartanah dan kos sara hidup. Tanpa sokongan yang bersesuaian kepada industri, perubahan ini boleh menjejaskan pertumbuhan sektor dan memberi tekanan besar kepada syarikat serta pengguna,” tegas beliau.