
KUCHING: Revolusi Industri Keempat (IR4.0) menuntut semua pihak, khususnya industri, memainkan peranan aktif dalam memperkasa tenaga kerja tempatan agar seiring dengan perkembangan global, tegas Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Menurutnya, tenaga kerja yang mahir, inovatif dan mudah menyesuaikan diri merupakan asas kepada ekonomi moden yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, bukan sekadar bergantung kepada sumber semula jadi atau infrastruktur fizikal semata-mata.
“Teras pembangunan modal insan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) merupakan antara yang paling penting untuk memastikan Sarawak mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi dan inklusif.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sarawak Human Capital Briefing 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Roland menggesa lima sektor utama di bawah PCDS 2030 iaitu pertanian, pembuatan, perhutanan, pelancongan dan perkhidmatan agar menubuhkan majlis sektoral masing-masing bagi merangka strategi pembangunan tenaga kerja masa depan.
“Bangunkan majlis sektoral masing-masing dan pimpinlah perancangan strategik tenaga kerja masa depan bagi industri anda,” tambahnya.
Pada majlis yang sama turut diadakan pertukaran Surat Kerjasama (Exchange of Letter of Collaboration) antara Sarawak Skills dan Sarawak Energy Berhad, serta penandatanganan Surat Hasrat (Letter of Intent atau LoI) antara Sarawak Skills dan Talent Corporation Malaysia Berhad.
Oleh Amanda L