
KUCHING: Industri buluh bakal menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi baharu di Baram menerusi Projek Pertanian Untuk Rakyat Sarawak (Putras) yang dicadangkan oleh Malaysian Community Care Foundation (MCCF) Resources Sdn Bhd kepada Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), baru-baru ini.
Projek yang dijangka meliputi kawasan seluas 49,000 hektar termasuk 8,300 hektar Tanah Adat (NCR) itu memberi tumpuan kepada pembangunan industri buluh secara menyeluruh termasuk dari penanaman hingga ke pengeluaran produk hiliran.
Penolong Pengurus Besar Pengurusan Sumber Lestari Pusaka, Hamzah Morshidi berkata industri buluh dilihat berpotensi besar sebagai ‘game changer’ kepada ekonomi di wilayah utara Sarawak, khususnya di Baram.
“MCCF Resources merancang untuk melaksanakan program penanaman buluh secara berskala besar dan memajukan sektor hiliran melalui penghasilan produk bernilai tambah berasaskan buluh,” katanya.
Pelaksanaan projek ini melibatkan kerjasama strategik antara Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), komuniti tempatan, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan sektor swasta.
Inisiatif tersebut dijangka membuka peluang pekerjaan baharu, menjana pendapatan komuniti dan membina ekosistem industri buluh yang mampan.
Sebagai pelengkap kepada pembangunan industri ini, cadangan pembinaan loji janakuasa biojisim juga dibentangkan.
Jelasnya, loji ini akan memanfaatkan sisa buluh sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui, menyumbang kepada keperluan tenaga setempat dan menyokong peralihan Sarawak ke arah ekonomi hijau.
Selain buluh, Putras turut merangkumi pembangunan sektor pertanian, tenaga boleh diperbaharui dan eko-pelancongan, namun industri buluh menjadi tunjang utama yang menggerakkan keseluruhan perancangan pembangunan di kawasan tersebut.
Sesi pembentangan projek tersebut dipengerusikan oleh Pengarah EPU Sarawak, Datu Lester Matthew dan turut disertai oleh wakil-wakil daripada Pusaka, Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah (M-FICORD), Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) serta pemimpin komuniti Baram.
Cadangan projek mendapat maklum balas positif daripada pihak EPU dan agensi berkaitan, yang menyarankan agar pelaksanaannya diselaraskan dengan teliti melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memastikan manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat dan negeri secara keseluruhan.
Dengan pendekatan bersepadu dan tumpuan kepada industri buluh sebagai teras, Putras Baram dilihat mampu menjadi model pembangunan luar bandar yang mampan, inklusif dan berdaya saing di Sarawak.
Oleh Rynna Sha’erra