
KUCHING: Industri berkaitan buaya di Sarawak mempunyai potensi ekonomi yang besar, namun pemilik permit digesa memainkan peranan lebih aktif dalam memanfaatkan peluang tersebut.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, ketika ini lebih 70 permit telah dikeluarkan, namun hanya segelintir yang benar-benar aktif.
“Permit sudah diberikan lebih daripada 70, tetapi yang aktif mungkin hanya tiga atau empat sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) Cawangan Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, potensi perdagangan buaya melibatkan kulit dan daging adalah tinggi, namun faktor pantang larang dalam kalangan masyarakat tempatan menjadi antara kekangan utama.
“Kita faham ada kepercayaan tertentu terutama dalam kalangan masyarakat Bumiputera, tetapi dari sudut profesional, kita perlu bergerak ke hadapan untuk kurangkan konflik manusia dan buaya,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan usaha berterusan sedang dilaksanakan termasuk pendidikan kesedaran, pemindahan buaya ke kawasan perlindungan serta penggunaan aplikasi CrocWatch bagi memantau keberadaan reptilia tersebut.
Katanya, pendekatan bersepadu melibatkan agensi seperti bomba, polis dan pihak berkaitan juga terus diperkukuh bagi menangani konflik manusia dan buaya, khususnya di kawasan luar bandar.
“Perkara paling penting adalah pendidikan dan kesedaran supaya masyarakat tahu kawasan berisiko dan dapat mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya.
Oleh Shahrul Qaizat