
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengumumkan penubuhan Majlis Kebajikan Pekerja Kebangsaan dalam langkah yang berpotensi mengubah landskap hak pekerjaan di negara itu, menandakan satu langkah penting bagi kebajikan dan keadilan pekerja.
Berucap di hadapan lebih 200,000 orang di Tugu Negara, Jakarta Pusat sempena Hari Pekerja Antarabangsa semalam, Prabowo menegaskan komitmen pentadbirannya untuk memperkukuh hak pekerja dan menggubal undang-undang buruh yang lebih adil.
“Tugas mereka ialah mengkaji keadaan pekerja dan memberi nasihat kepada Presiden mengenai undang-undang yang tidak mencukupi atau gagal melindungi pekerja.
“Mereka akan menyalurkan maklum balas kepada saya, dan kami akan segera melakukan penambahbaikan,” katanya merujuk kepada majlis yang baharu dibentuk itu.
Prabowo turut mengulangi tumpuan pentadbirannya untuk memperluas akses kepada penjagaan kesihatan mampu milik, sejajar dengan visinya untuk meningkatkan kebajikan semua rakyat.
“Kami akan berusaha keras agar setiap warganegara Indonesia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik dan ubat-ubatan paling mampu milik,” katanya.
Menjawab tuntutan lama kesatuan sekerja, Prabowo menggariskan rancangan untuk memansuhkan penyumberan luar, meluluskan Rang Undang-Undang Perlindungan Pekerja Domestik, menyemak semula Undang-Undang Buruh 2003, melaksanakan gaji sara hidup, meluluskan undang-undang pelucuthakan aset bagi memerangi rasuah, serta menubuhkan pasukan petugas berkaitan penamatan pekerjaan.
Beliau mengesahkan bahawa cadangan itu akan dikaji secara serius oleh kementerian berkaitan, sekali gus memberi isyarat perubahan ketara dalam dasar buruh negara.
Prabowo turut memberi komitmen tegas untuk bertindak segera, dengan menyatakan bahawa kerajaan akan menubuhkan pasukan petugas dengan pantas dan mengambil langkah melindungi pekerja dalam sektor maritim dan perikanan.
Mengenai Rang Undang-Undang Perlindungan Pekerja Domestik, beliau menyuarakan harapan agar ia dapat dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan, yang berpotensi memberi manfaat kepada jutaan pekerja Indonesia. – Bernama