Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Indonesia tingkatkan pemantauan selepas Australia umum kes demam campak
  • KESIHATAN

Indonesia tingkatkan pemantauan selepas Australia umum kes demam campak

Utusan Sarawak 13 hours ago
PIHAK berkuasa kesihatan Indonesia mempertingkatkan pemantauan dan siasatan epidemiologi susulan laporan kes demam campak yang melibatkan sejarah perjalanan dari negara itu ke Australia. Foto hiasan

JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia mempertingkatkan siasatan epidemiologi dan memperkukuh pengawasan susulan makluman rasmi daripada pihak berkuasa kesihatan Australia mengenai satu kes demam campak yang melibatkan sejarah perjalanan dari Indonesia.

Ketua Biro Komunikasi dan Penerangan Awam kementerian itu, Aji Muhawarman berkata, pihaknya sedang menyelaras dengan pihak berkuasa Australia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Indonesia bagi memastikan tindak balas selari dengan piawaian antarabangsa.

Beliau berkata makluman itu disampaikan melalui mekanisme Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) menerusi Pusat Tumpuan IHR Australia, dan telah disahkan serta disusuli oleh Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam (PHEOC) kementerian.

“Kes itu melibatkan seorang remaja perempuan warga Australia berusia 18 tahun yang melawat Bandung. Beliau mempunyai sejarah vaksinasi MMR (Campak, Beguk, Rubella) yang lengkap pada 2009 dan 2012, serta menaiki penerbangan Batik Air bagi laluan Jakarta-Perth pada 7 dan 8 Februari 2026.

“Ruam mula muncul pada 8 Februari di Perth dan keputusan ujian PCR (tindak balas berantai polimerase) adalah positif. Setakat ini, hanya satu kes dilaporkan dan tiada kematian direkodkan,” katanya menurut laporan agensi berita ANTARA pada Ahad.

Aji berkata pihak berkuasa Australia masih menjalankan siasatan lanjut dan belum memberikan butiran tambahan.

Setakat ini, siasatan epidemiologi yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Wilayah Jawa Barat tidak menemui sebarang kes tambahan yang berkaitan.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada wabak demam campak peringkat kebangsaan diisytiharkan dan pemantauan diteruskan melalui sistem pengawasan aktif.

Aji menggesa orang ramai supaya memastikan imunisasi demam campak mereka dikemas kini, terutamanya bagi mereka yang melakukan perjalanan antarabangsa.

“Individu yang mengalami gejala demam dan ruam dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan perubatan di kemudahan kesihatan terdekat, manakala mereka yang dijangkiti dinasihatkan mengehadkan kontak dengan orang lain bagi mencegah penularan,” katanya. – Bernama

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: KKM pergiat usaha pengukuhan kawalan keselamatan makanan
Next: Malaysia bebas penyakit nipah, situasi sentiasa dipantau – Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.